Hanya pokok pain 'mati' dan bangkai seekor gagak
JABA - PAKISTAN. Seorang mangsa serangan udara dilancarkan India masih tidak pasti kenapa rumahnya menjadi sasaran bedilan hingga mengganggu lenanya.
"Mereka kata mahu menyasarkan beberapa pengganas. Pengganas apa yang anda boleh lihat di sini? Kami tinggal di sini. Adakah kami pengganas?" kata penduduk perkampungan Jaba berhampiran bandar timur laut Balakot di wilayah Khyber Pakhtunkhwa, Nooran Shah, 62, yang turut cedera.
Selasa lalu, New Delhi mendakwa ia telah memusnahkan kem latihan utama kumpulan militan Jaish-e-Mohammad (JeM) yang mengaku bertanggungjawab melancarkan serangan pengeboman berani mati ke atas konvoi pasukan separa tentera yang meragut sekurang-kurangnya 40 nyawa pada 14 Februari lalu.
Setiausaha Luar India, Vijay Gokhale berkata, serangan itu kononnya berjaya menghapuskan sejumlah besar anggota JeM, pelatih, komander kanan dan kumpulan jihadis yang dilatih untuk tindakan Fidayeen (serangan berani mati).
Seorang pegawai kanan kerajaan juga memaklumkan kira-kira 300 militan terbunuh dalam operasi itu.
Dua hari selepas insiden itu yang telah meningkatkan ketegangan antara kedua-dua negara kuasa nuklear itu, seorang pegawai pertahanan kanan seakan cuba berdolak dalik ketika ditanya tentang jumlah korban dan berapa banyak kemusnahan akibat serangan udara itu.
R G K Kapoor memberitahu masih terlalu awal untuk memberikan butiran tentang jumlah kematian tersebut.
Namun, beliau dengan yakin menyatakan tentera India mempunyai bukti boleh dipercayai tentang kemusnahan yang berlaku di kem militan terbabit.
Jumlah kematian diberikan India sebelum ini ditolak oleh Pakistan yang mendakwa operasi itu sebenarnya gagal kerana jet pejuang India dilihat membedil kawasan lereng bukit tanpa mencederakan sesiapa.
Di atas cerun kawasan hutan di atas Jaba, penduduk kampung menunjukkan empat kawah kesan akibat bedilan bom dan beberapa pokok pain musnah.
"Ia menggegar seluruh kawasan. Tiada siapa terkorban. Hanya beberapa pokok pain 'mati' dan bangkai seekor gagak," kata pemandu van pikap, Abdur Rasheed.
Bukan kem latihan militan tetapi sekolah agama
Jaba terletak di kawasan hutan tebal dan berbukit dengan sungai yang mengalir ke Lembah Kaghan, sebuah destinasi percutian popular untuk penduduk tempatan.
Lokasinya adalah kira-kira 60 kilometer dari Abbottabad, bandar garison di mana pemimpin al-Qaeda, Osama Laden dibunuh komando Amerika Syarikat pada 2011.
Terdapat 400 hingga 500 penduduk tinggal di kawasan berbukit itu.
Hasil temubual Reuters bersama kira-kira 15 penduduk mendapati mereka juga tidak tahu tentang militan yang terbunuh selain mangsa cedera dikenali sebagai Nooran Shah.
"Saya tidak melihat sebarang mayat hanya seorang penduduk yang cedera terkena objek akibat serangan tersebut," kata Abdur Rasheed.
Unit Kesihatan Asas di hospital berhampiran, Mohammad Saddique yang bertugas pada malam serangan itu juga menafikan berlaku kematian seperti didakwa India.
"Ia adalah satu pembohongan. Kami tidak terima sebarang kes. Hanya seorang alami cedera ringan, namun dia tidak dibawa ke sini," ujarnya.
Di Balakot, sebuah bandar yang dibina semula selepas bencana gempa pada 2005, seorang pegawai perubatan di Hospital Tehsil juga mengesahkan tiada kes kematian dilaporkan pada hari serangan itu.
Menurut penduduk, JeM memang wujud di kawasan itu.
Mereka tidak membuka sebarang kem latihan seperti didakwa sebaliknya hanya menubuhkan sebuah madrasah atau sekolah agama terletak kira-kira 1 kilometer dari lokasi bedilan. "Ia adalah madrasah Taleem ul Quran yang mengajar kanak-kanak dari kampung berhampiran," kata Nooran Shah.
Difahamkan, sebuah papan tanda yang dipasang untuk menunjukkan kaitan madrasah itu dengan JeM telah diturunkan selain petugas media tidak dibenarkan memasuki kawasan tersebut.
Struktur itu yang dilihat dari belakang madrasah tersebut langsung tidak terjejas dan tiada sebarang tanda kemusnahan.
Diplomat Barat di Islamabad juga menegaskan mereka tidak percaya tentera udara India telah membedil kem militan.
"Tiada kem latihan militan di sana. Ia sudah tidak wujud sejak beberapa tahun lalu dan mereka telah memindahkannya. Maklumat itu diperoleh berdasarkan sumber risikan kami," kata salah seorang daripada mereka. - Reuters
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!