Keuntungan bersih TNB naik RM821.5 juta
KUALA LUMPUR - Tenaga Nasional Bhd (TNB) mencatat keuntungan bersih lebih tinggi yang meningkat 25.7 peratus kepada RM821.5 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun, 2021 berbanding RM653.3 juta pada tahun sebelumnya.
Prestasi itu didorong oleh peningkatan keuntungan operasi walaupun mencatat kerugian bersih lebih besar akibat rosot nilai instrumen kewangan dalam tahun semasa tersebut, demikian menurut syarikat utiliti negara itu dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia pada Khamis.
Hasil bagi suku kedua itu turut meningkat 14.2 peratus kepada RM12.44 bilion berikutan peningkatan penggunaan tenaga elektrik melibatkan pelanggan komersial dan industri apabila perniagaan tertentu dibenarkan beroperasi berbanding penutupan penuh ekonomi akibat pandemik Covid-19 dalam suku sebelumnya.
Berikutan itu, keuntungan operasinya telah meningkat kepada RM2.12 bilion daripada RM1.82 bilion.
Selain itu, keuntungan bersih TNB bagi separuh pertama 2021 melonjak kepada RM1.78 bilion daripada RM1.37 bilion manakala perolehan hasil meningkat kepada RM23.91 bilion berbanding RM22.54 bilion pada tahun lepas.
TNB menyifatkan pertumbuhan itu dipacu terutamanya oleh peningkatan dalam permintaan domestik dan kekukuhan prestasi eksport yang berterusan.
Keadaan itu konsisten dengan pertumbuhan permintaan sebanyak 4.4 peratus yang dicatatkan oleh TNB bagi separuh pertama tahun ini yang menunjukkan pemulihan dalam sektor industri.
“Bagaimanapun menjelang akhir suku kedua, kelembapan ekonomi telah berlaku berikutan penguatkuasaan semula langkah-langkah pencegahan lebih ketat di seluruh negara akibat peningkatan semula kes-kes Covid-19.
“Oleh itu, Bank Negara Malaysia telah meneliti semula unjuran pertumbuhan ekonomi negara antara 3.0 peratus hingga 4.0 peratus bagi 2021 (berbanding unjuran sebelumnya antara 6.0 peratus dan 7.5 peratus),” katanya.
Menurut TNB, susulan perkembangan membabitkan pandemik, kumpulan tersebut akan terus mengambil langkah-langkah berhemat dalam keperluan operasi serta kewangan agar dapat memastikannya kekal berdaya tahan.
Dalam pada itu, syarikat tersebut turut mengumumkan dividen interim RM1.26 bilion atau 22.0 sen sesaham.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, TNB mengumumkan hala tuju kelestarian dengan aspirasi mencapai pelepasan sifar bersih menjelang 2050 yang berperanan sebagai langkah ke arah penyahkarbonan dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Hasrat itu dipacu menerusi komitmen untuk mengurangkan intensiti pelepasan sebanyak 35 peratus serta pengurangan kapasiti penjanaan arang batu sebanyak 50 peratus menjelang 2035.
“Hala tuju baharu ini adalah takrifan jelas matlamat kelestarian TNB yang bermula pada 2016 menerusi pelancaran pelan strategik ‘Reimagining TNB.’
“Komitmen hari ini hanya memberi pemahaman lebih jelas terhadap hala tuju kelestarianTNB bagi tempoh 30 tahun akan datang,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din ketika mengumumkan hala tuju tersebut yang serentak dengan pengumuman prestasi kewangan Separuh Pertama Tahun Kewangan 2021 (TK2021) di sini pada Khamis.
Selain itu, TNB turut komited dalam memastikan pendapatan daripada loji penjanaan arang batu tidak melebihi 25 peratus daripada keseluruhan pendapatan.
Malah, pada awal tahun ini, TNB berkongsi komitmennya untuk tidak lagi melabur dalam pembinaan loji arang batu di atas tapak baharu selepas Jimah East Power beroperasi pada 2019 manakala tugas loji-loji sedia dihentikan apabila perjanjian pembelian tenaga (PPA) tamat.
Menurut Baharin, sejajar usaha ke arah komitmen 2035 itu, TNB akan terus menambah baik kecekapan loji termal sedia ada dan meningkatkan portfolio penjanaan tenaga boleh diperbaharui.
“Sasaran kami adalah untuk mencapai 8,300MW RE menjelang 2025.
“Kami percaya titik lengkuk balas antara 2035 dan 2040 akan menentukan kadar trajektori sifar bersih kami. Justeru, ke arah tahap itu, TNB komited untuk membangunkan penyelesaian penyimpanan tenaga dan kini dalam perbincangan dengan kerajaan bagi pelaksanaannya sebagai satu langkah pertumbuhan RE.
“TNB juga komited untuk memacu pelaburan dalam teknologi hijau baharu seperti hidrogen hijau serta pemerangkapan dan penggunaan karbon apabila ia berdaya maju secara ekonomi,” kata beliau.
Pada masa sama, TNB kekal komited terhadap agenda hijau kerajaan serta komitmen Malaysia untuk mengurangkan intensiti pelepasan gas rumah hijau daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) sebanyak 45 peratus menjelang 2030 berbanding garis dasar pada 2005. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!