Kebergantungan negara terhadap makanan import terus meningkat
SHAH ALAM - Statistik pengeluaran eksport, import dan kadar kebergantungan import (IDR) menunjukkan negara ini terus bergantung kepada import makanan selain nilai import makanan yang semakin meningkat.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pada tahun 2020, sumbangan sektor pertanian dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) secara keseluruhannya mencapai 7.4 peratus dan beberapa tahun kebelakangan ini, sumbangan sektor pertanian mengecil berbanding negara jiran Indonesia (13.7 peratus) dan Thailand (8.6 peratus).
Menurutnya, sebanyak 19 item di bawah komoditi pertanian terpilih merekodkan Kadar Sara Diri (SSR) melebihi 100 peratus berbanding 25 item pada 2019 dan faktor yang mengekang prestasi sektor pertanian adalah berkaitan kos bahan mentah yang lebih tinggi terutama untuk komoditi yang berkaitan dengan produk makanan.
“Usaha untuk memberi nafas baru kepada sektor makanan berasaskan pertanian melalui penerapan teknologi akan dapat meningkatkan pengeluaran pertanian serta mengatasi masalah pengangguran.
“Jumlah pengangguran di peringkat nasional melebihi nilai ambang pra-pandemik dan kekal tinggi pada 768,700 ribu orang pada Jun 2021.
“Industri pertanian juga berpotensi menawarkan pekerjaan dan peluang pekerjaan terutama untuk belia dan siswazah yang secara tidak langsung dapat mengatasi isu kekurangan tenaga kerja,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Jabatan Perangkaan Malaysia pada Khamis menerbitkan Akaun Pembekalan dan Penggunaan Komoditi Pertanian Terpilih, 2016-2020.
Mengulas lanjut, Mohd Uzir berkata, skala pandemik Covid-19 telah menjejaskan perdagangan antarabangsa dan globalisasi serta mempengaruhi penawaran dan permintaan antarabangsa.
Jelas beliau, pada tahun 2020, sebanyak 24 daripada 45 item menunjukkan trend penurunan bagi IDR yang disumbangkan oleh sekatan perdagangan antarabangsa ekoran pandemik.
“Nilai IDR yang tinggi menunjukkan peningkatan pada bekalan komoditi pertanian yang diimport dan Malaysia sangat bergantung kepada import bagi daging kambing, mangga, kelapa, dan daging lembu untuk memenuhi permintaan domestik dan lebih 70 peratus daging kambing diimport berasal dari Australia, sementara mangga, kelapa, daging lembu dari Thailand, Indonesia dan India.
“Dalam memenuhi keperluan dan permintaan pengguna tempatan, produk makanan perlu diimport dari luar negara terutamanya bawang besar, produk tenusu, kopi, tepung gandum, teh, bawang kecil, ubi kentang, dan minyak masak.
“Akaun Pembekalan dan Penggunaan (SUA) berperanan sebagai alat yang berguna dalam menganalisis trend penawaran dan penggunaan komoditi pertanian di negara serta sebagai mekanisme untuk menilai keadaan pertanian nasional,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!