Chitwan Tigers sambar khidmat Virandeep Singh

Virandeep Singh menjadi pemain pertama Malaysia menyertai Chitwan Tigers bagi saingan Everest Premier League Nepal 2021.
Virandeep Singh menjadi pemain pertama Malaysia menyertai Chitwan Tigers bagi saingan Everest Premier League Nepal 2021.
A
A
A

VIRANDEEP Singh menjadi pemain kriket pertama dari Malaysia menyertai Everest Premier League Nepal 2021, selepas menandatangani kontrak dengan kelab Chitwan Tigers, pada Rabu.

Edisi keempat kejohanan Twenty-20 (T20), yang terkenal disebabkan penyertaan tertinggi dalam kalangan kelab kriket domestik negara anggota International Cricket Council (ICC) itu, dijadualkan berlangsung dari 25 September hingga 9 Oktober.

Chitawan Tigers yang berpengkalan di daerah Chitwan, merupakan salah satu daripada enam francais T20 kriket terbesar Nepal, menyediakan peluang terbaik bagi Virandeep untuk mempamerkan kehebatannya dalam sukan itu.

Virandeep, berhasrat untuk merebut peluang ini bagi menampilkan kehebatan diri dan juga pemain kriket Malaysia di luar negara, walaupun hakikatnya sukan ini belum lagi menjadi sukan yang popular di negara ini.

“Ini adalah sesuatu yang saya sentiasa inginkan (bermain di liga antarabangsa), memang menjadi matlamat saya sejak lama. Ia permulaan baharu, bukan sahaja bagi diri saya tapi juga bagi negara, kerana apabila muncul seseorang rakyat Malaysia memulakannya, pasti ada yang akan menyusul nanti.

“Dari segi prestasi, saya berhasrat untuk beraksi apabila diberi peluang pada bila-bila masa, dan menunjukkan kehebatan Malaysia,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Virandeep, yang kini berlatih sendiri susulan pelbagai sekatan disebabkan pandemik Covid-19 berkata, dari segi kemahiran, pemain kriket Malaysia pada pandangannya adalah setaraf dengan pemain Nepal, namun dari segi pendedahan dan sokongan peminat, Nepal lebih hebat kerana kriket merupakan sukan yang paling diminati di negara itu.

Nepal berada di kedudukan ke-12 dalam ranking T20 International manakala Malaysia di kedudukan ke-31 dalam kalangan 82 pasukan yang disenaraikan di laman web ICC.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Persatuan Kriket Malaysia (MCA) mengucapkan tahniah kepada Virandeep dan yakin negara akan menyaksikan lebih ramai pemain kriket tempatan diberikan peluang yang sama dalam masa terdekat.- Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!