Hijau Kuning semakin kental

Kedah lebarkan momentum kemenangan aksi liga buat kali ketiga berturut-turut setelah mengatasi PJ City 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu. - Foto Kedah Darul Aman FC
Kedah lebarkan momentum kemenangan aksi liga buat kali ketiga berturut-turut setelah mengatasi PJ City 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu. - Foto Kedah Darul Aman FC
A
A
A

KEPENATAN mengharungi jadual padat tidak menghalang Kedah Darul Aman FC untuk terus meraih kemenangan kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan PJ City FC 4-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada Rabu.

Pengendalinya, Aidil Sharin Sahak menyifatkan motivasi ditampilkan barisan pemain untuk tidak berputus asa di sebalik kepenatan berdepan jadual padat susulan perlawanan tertunda menjadikan mereka semakin kental untuk terus mengutip mata sekali gus berjaya meletakkan pasukan di tangga ketiga.

Namun, Aidil menegaskan mereka perlu mengekalkan kemenangan seperti ini dalam aksi-aksi akan datang sekiranya ingin terus berada di kelompok teratas kerana berbanding dengan pasukan lain, Kedah masih ada lima lagi perlawanan yang perlu ditempuh termasuk dua aksi tertunda.

“Alhamdulillah kemenangan kali ketiga berturut-turut, dan tahniah kepada semua pemain yang mengikuti perancangan kita dengan baik untuk menang kali ini.

“Kita bekerja keras untuk datang ke sini (Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya) dan PJ City juga merupakan lawan yang cukup kuat, tetapi kita perlu memperbaiki lagi segala kelemahan untuk terus raih tiga mata dalam aksi akan datang.

“Saya rasa sekarang semangat pemain saya yang sangat tinggi memberi kemenangan kepada pasukan kerana dari Terengganu, kami terus datang ke Kuala Lumpur dan saya rasa ini yang membuatkan hubungan antara pemain lebih baik, kerana kami sentiasa bersama, dan ia hadir melalui semangat berpasukan ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, ketua jurulatih PJ City, P Maniam mengakui barisan pemain mudah hilang fokus terutama di benteng pertahanan sekali gus membuka ruang kepada Kedah untuk menjaringkan gol.

Nyata, lima kekalahan berturut-turut ini perlu diambil serius oleh pasukan di mana beliau menyifatkan kedudukan PJ City sekarang yang kini di tangga kelapan masih belum selamat.

Artikel Berkaitan:

“Saya tidak boleh katakan kami telah selamat kerana masih ada lagi baki perlawanan yang perlu ditempuh dan kita tidak boleh lagi tercicir mata.

“Tetapi saya yakin dengan tahap keyakinan pemain-pemain saya yang sentiasa bersungguh-sungguh, cuma apabila ada beberapa kecederaan, itu yang memberi sedikit tekanan kepada kami.

“Dan saya harapkan mereka yang masih cedera akan segera pulih dan sempat untuk beraksi kembali sekurang-kurangnya untuk aksi menentang UiTM FC pada minggu hadapan”, katanya.

Perlawanan tertunda yang berlangsung semalam meletakkan Kedah ketika ini berjaya meraih 35 mata untuk berada di tangga ketiga dan hanya dibezakan dua mata dengan Terengganu FC yang kini di kedudukan kedua manakala PJ City FC di tempat kelapan dengan 18 mata.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!