Bruno Suzuki yang dulu bukanlah yang sekarang
PENYERANG import PDRM FC, Bruno Suzuki menyifatkan perubahan posisi dari penyerang sokongan kepada penyerang utama The Cops, menjadi faktor utama membolehkannya lebih tajam dalam tindakan penyudah dengan tujuh gol dalam tujuh perlawanan terakhir Liga Premier.
Bruno yang merupakan penyerang kacukan Jepun-Brazil berkata, dia begitu selesa diletakkan oleh pengendali PDRM FC, Wan Rohaimi Wan Ismail di posisi berkenaan berbanding posisi sebelumnya.
Jelas Bruno, dia berasa sangat teruja dengan kepercayaan diberikan Wan Rohaimi sekaligus dapat membantu The Cops untuk berada pada kedudukan kelima Liga Premier seterusnya berpeluang cerah merebut slot ke Piala Malaysia.
“Saya akui sangat tenggelam pada pusingan pertama liga pada beberapa perlawanan awal sebelum terpaksa berehat panjang akibat kecederaan tetapi segala-galanya sangat berbeza pada masa sekarang.
“Kehadiran jurulatih, Wan Rohaimi benar-benar mengubah situasi saya di sini kerana dia tahu akan kemampuan saya dengan meletakkan posisi selaku penyerang utama.
“Itu menjadi faktor kenapa saya berjaya temui semula sentuhan jaringan yang dicari-cari selama ini dan rasa gembira kerana dapat balas kepercayaan yang diletakkan oleh jurulatih.
“Kini saya hanya mahu mencari tiga lagi jaringan bagi dari baki tiga perlawanan yang tinggal kerana sememangnya dari awal musim, saya letakkan sasaran 10 gol bersama PDRM di Liga Premier,” katanya.
PDRM FC juga tidak pernah tewas dalam tujuh perlawanan terakhir dan rekod ini adalah sesuatu yang menakjubkan buat Wan Rohaimi selepas kelab itu hanya meraih dua kemenangan pada pusingan pertama liga.
Bruno yang merupakan bekas penyerang Negeri Sembilan dan Terengganu FC II mengakui suasana di dalam kelab cukup positif sejak di bawah kendalian Wan Rohaimi.
Tambahnya, jika situasi itu berterusan, dia berasakan tidak mustahil The Cops mampu menamatkan saingan liga dalam kalangan tiga terbaik malah mampu berikan cabaran sengit di Piala Malaysia.
Justeru, dia mengharapkan PDRM mampu sekali lagi hadirkan kejutan ke atas Sarawak United FC, lawan yang mereka pernah tewaskan semasa pertemuan di Stadium Hang Jebat pada 16 April lalu.
“Melihatkan suasana sekarang, saya rasa amat gembira dengan perkembangan yang berlaku kerana setiap pemain mula percaya yang mereka boleh lakukan sesuatu dengan pasukan.
“Kami pernah tewaskan dua pasukan di atas kami, Terengganu FC II dan Sarawak United, jadi PDRM sebenarnya boleh menang dengan sesiapa sahaja di Liga Premier jika setiap pemain ada keyakinan.
“Jika kami dapat bermain di Piala Malaysia, saya yakin PDRM boleh melakar sesuatu dan harap pertemuan dengan Sarawak United pada Jumaat, kami akan terus konsisten dalam melakar kemenangan,” katanya.
Untuk rekod, PDRM akan melayani kunjungan Sarawak United FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur pada Jumaat selain Kelantan FC bertemu Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Muhammad ke-IV, Kota Bharu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!