Nur Syaiful akui dapat suntikan semangat

Nur Syaiful beraksi dalam acara 100m gaya bebas lelaki akhir S5 pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo pada Khamis.

Nur Syaiful beraksi dalam acara 100m gaya bebas lelaki akhir S5 pada Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo pada Khamis.

A
A
A

PERENANG para negara Muhammad Nur Syaiful Zulkafli menyifatkan kejayaan memecahkan rekod peribadi dalam acara 100 meter (m) gaya bebas lelaki akhir S5 (kecacatan fizikal) Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Pusat Akuatik Tokyo sebagai tonik mujarabnya selepas permulaan mendukacitakan pada Rabu.

“Alhamdulillah, sejujurnya saya amat berpuas hati dengan pencapaian yang dilakar pada hari ini apatah lagi selepas beberapa tahun saya tidak menyertai sebarang kejohanan kompetitif berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

“Dan kali ini di temasya sukan terbesar dunia di Paralimpik Tokyo 2020, syukur saya diberikan kesempatan untuk memperbaharui rekod peribadi dalam acara 200 meter dan 100 meter gaya bebas.

“Alhamdulillah juga saya berada dalam kelompok 10 terbaik dunia walaupun catatan masa saya dalam acara 200 meter sebelum ini tidak diiktiraf Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa (IPC).

“Insya-ALLAH, kejayaan hari ini menjadi pembakar semangat kepada saya untuk mencipta lebih banyak keputusan positif dalam baki saingan acara renang di Paralimpik kali ini,” katanya kepada Sukan Sinar pada Khamis.

Nur Syaiful yang memulakan saingan pada lorong pertama mengakhiri cabaran pada kedudukan ketujuh daripada lapan pelumba mencatat masa 1 minit 15.12 saat, sekali gus memadam catatan peribadi sebelum ini iaitu 1 minit 15.39 saat di London, United Kingdom pada 2019.

Nur Syaiful sebelum ini tidak berjaya mara ke peringkat akhir acara 200m gaya bebas lelaki S5 apabila penyertaannya dalam saringan pertama dibatalkan akibat isu teknikal.

Untuk rekod, perenang dari Sarawak berusia 26 tahun itu masih berpeluang untuk meraih pingat, apabila dijadualkan beraksi dalam acara 50m gaya bebas lelaki (S5) dan 100m kuak dada lelaki (SB4) bagi melengkapkan penampilan sulung di Paralimpik Tokyo 2020.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!