Eksperimen sosial di pusat beli-belah
BEBERAPA hari lalu, heboh kisah pasangan suami isteri membuat eksperimen sosial masuk ke kedai makan untuk dine-in walaupun tidak lengkap dua dos suntikan vaksin.
Minggu ini Merak Jalanan bukan hendak mengulas isu tersebut.
Biarlah pihak berkuasa menjalankan siasatan.
Cuma apabila membaca kisah itu, teringat tiga tahun lepas Merak Jalanan pun pernah membuat eksperimen sosial. Ketika itu Covid-19 belum wujud.
Merak Jalanan berpakat dengan dua rakan membuat eksperimen sosial bersiar-siar di pusat beli-belah pada hujung minggu dengan lengkap berbaju Melayu termasuk bersamping.
Merak Jalanan nak tahu apa reaksi orang ramai.
Tempat yang kami tuju ialah The Curve dan IPC Damansara. Melangkah masuk ke pusat beli-belah, kami seolah-olah jadi perhatian.
Setiap kali berselisih, orang akan pandang apa yang kami pakai.
Ada yang pandang dari jauh dan ada yang menjeling dengan anak mata.
Ada satu ketika, kami berselisih dengan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat atau lima tahun yang berjalan bersama ibunya.
Kanak-kanak itu bertanya kepada ibunya: “Mama, kenapa orang tu pakai baju raya?”
Berdasarkan eksperimen sosial tersebut, Merak Jalanan buat kesimpulan bahawa memakai baju kebangsaan sambil membeli-belah akan menyebabkan kita dilihat luar biasa dalam kalangan orang ramai.
Mungkin ada yang mengatakan eksperimen sosial itu agak remeh tetapi bagi Merak Jalanan, ada dua perkara yang hendak disampaikan.
Pertama, Merak Jalanan berpendapat pemakaian baju kebangsaan perlu dibiasakan, tidak sekadar di majlis rasmi, hari raya atau hari Jumaat agar tidak lagi nampak janggal di mata orang ramai.
Yang kedua, sekiranya hendak melakukan eksperimen sosial, pastikan tidak melanggar undang-undang atau menyentuh sensitiviti masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!