Tok Gajah enggan menyerah kalah
MESKIPUN dihimpit masalah kecederaan pemain, Sri Pahang FC tidak akan memberi laluan mudah kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim pada Jumaat.
Pengendali Sri Pahang FC, Dollah Salleh berkata, Tok Gajah akan tampil beraksi habis-habisan dalam usaha memberikan tentangan sengit kepada skuad Harimau Selatan itu.
“Secara keseluruhannya, kami hanya ada 17 pemain iaitu 13 pemain Liga Super dan empat pemain skuad Piala Presiden yang akan dibawa untuk berdepan JDT nanti.
“Apa-apa pun, kami tetap perlu berikan yang terbaik kerana dalam dua perlawanan sebelum ini, kami tewas (masing- masing 0-2 kepada Terengganu FC dan 0-2 kepada Kuala Lumpur City FC).
“Jadi memang kami kena bagi yang terbaik walaupun kami tahu bermain di gelanggang lawan bukannya mudah. Kami bukan datang untuk menyerah kalah,” katanya kepada Sukan Sinar pada Rabu.
Enam tonggak Tok Gajah tidak dapat beraksi iaitu kapten, Muslim Ahmad, Nor Azam Azih, Zuhair Aizat Mohd Nazri, Helmi Eliza Elias, Zarif Irfan Hashimuddin selain pertahanan import, Herold Goulon yang digantung perlawanan.
Dua pemain tengah - Abdul Malik Mat Ariff dan Yakubu Abu Bakar juga belum pasti dapat beraksi dalam perlawanan tersebut kerana masih mengalami masalah kecederaan.
Pada ketika Sri Pahang FC mahu menyelamatkan diri daripada zon penyingkiran, JDT pula menunggu masa untuk sekali lagi ditabalkan selaku juara Liga Super.
Andai menang ke atas Sri Pahang FC, JDT sah akan bergelar juara liga bagi musim kelapan berturut-turut biarpun masih mempunyai baki dua perlawanan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!