Real tak main-main
REAL Madrid membuktikan bahawa mereka komited untuk mendapatkan bintang Paris Saint Germain (PSG), Kylian Mbappe selepas menawarkan jumlah tawaran baharu sebanyak 180 juta euro (RM887.87 juta) kepada kelab Perancis itu.
Memetik laporan media Perancis, Real sanggup membayar 170 juta euro (RM838.64 juta) dan tambahan 10 juta euro (RM49.33 juta) dalam pakej bonus.
"Real juga yakin tawaran tersebut akan diterima selepas menaikkan jumlah tersebut selain ditambah keinginan Mbappe meninggalkan pasukan," kata laporan itu.
Kontrak pemain berusia 22 tahun itu akan tamat pada penghujung musim ini dan telah menolak enam tawaran kontrak yang diajukan oleh PSG.
Mbappe membuktikan dia juga serius untuk menyertai Real dan sanggup untuk membuat apa sahaja yang diperlukan dalam usaha memastikan perpindahan tersebut dapat direalisasikan.
Sebelum ini, Pengarah Sukan PSG, Leonardo mengakui Mbappe mahu meninggalkan kelab itu namun menuduh Real sebagai tidak menghormati mereka selepas menghubingi pemain itu secara tidak sah.
"Real cuba untuk bermain strategi supaya kami mengatakan tidak dan mereka telah mencuba sedaya upaya dan menunggu selama setahun untuk mendapatkan Mbappe secara percuma.
"Selama dua tahun terakhir, Real Madrid bersikap seperti ini. Itu tidak betul dan tidak sah kerana mereka menghubungi pemain itu. Perkara itu tidak dapat diterima oleh PSG," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!