Salur peruntukan tingkat sistem e-Syariah Perak

Sandrea ketika membahaskan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih atas Penzahiran Titah DiRaja Sultan Perak Darul Ridzuan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
Sandrea ketika membahaskan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih atas Penzahiran Titah DiRaja Sultan Perak Darul Ridzuan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak pada Jumaat. - Foto Urusetia Dewan Negeri Perak
A
A
A

IPOH - Kerajaan Perak diminta memberi perhatian dan menyalurkan peruntukan kewangan bagi usaha pemerkasaan khususnya berkaitan sistem pendigitalan operasi mahkamah syariah di negeri ini.

Sandrea Ng (PKR-Teja) berkata, walaupun mahkamah syariah mula menggunakan sistem e-Syariah sejak tahun 2009, sistem tersebut terhad kepada maklumat digital dan kegunaan dalaman pihak mahkamah.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri memberi peruntukan bagi membangunkan sistem e-Filing yang komprehensif di mahkamah syariah.

"Mahkamah syariah memainkan peranan penting dengan bidang kuasanya berkaitan permohonan pernikahan, perceraian dan rujuk (NCR) malah keganasan rumah tangga, permohonan perintah injunksi membabitkan harta, perebutan hak jagaan serta lawatan anak-anak, perintah interim jagaan anak dan lain-lain.

"Penambahbaikan prasarana juga harus dilaksanakan, bersesuaian dengan situasi terkini iaitu pelaksanaan pengurusan kes dan perbicaraan dalam talian. Kemudahan prasarana yang diperlukan termasuk kemudahan peralatan dan capaian internet yang stabil, melengkapkan dewan-dewan mahkamah sedia ada dengan peralatan telesidang, mewujudkan dewan-dewan mahkamah maya dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan Usul Menyembah Ucapan Tahniah Serta Menjunjung Kasih atas Penzahiran Titah DiRaja Sultan Perak Darul Ridzuan pada Sidang Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak pada Jumaat.

Sandrea berkata, sebagai perbandingan, sistem e-Filling telah diperkenalkan di mahkamah sivil di Malaysia sejak tahun 2011 lagi dan kini, sistem e-Kehakiman terus dibangun dan dilengkapi dengan fungsi seperti e-Review, e-Lelong, e-Pesuruhjaya dan lain-lain.

Menurutnya, penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) secara optimum ketika tempoh pandemik Covid-19 perlu dimanfaatkan bagi mempertingkatkan lagi prestasi mahkamah syariah.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, mahkamah syariah juga perlu terus memperbaiki sistem penyampaian dan perkhidmatan bagi memastikan kecekapan, ketelusan serta menjamin akses kepada keadilan yang lebih efektif.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!