Pentadbiran Ismail Sabri bukan tempoh bulan madu

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA- Bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mengingatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa era pentadbiran Ahli Parlimen Bera itu bukanlah suatu tempoh bulan madu.

Sebaliknya, beliau berkata, Ismail Sabri perlu memberi tumpuan penuh dalam menangani krisis ekonomi dan kesihatan yang dihadapi negara.

"Kegagalan serius adalah jangkitan Covid-19 melebihi 20,000 kes sehari sehingga mencapai 1.5 juta kes keseluruhan dengan 14,000 orang maut," ciapnya di Twitter pada Jumaat.

Menurutnya, kadar pengangguran turut mencatatkan peningkatan daripada 700,000 (4.5 peratus) kepada 2.1 juta orang (4.8 peratus).

"Empat juta orang lagi di sektor tidak formal yang sedang bergelut untuk kembali bekerja," katanya.

Beliau berkata, purata pendapatan isi rumah juga telah menurun sebanyak 11 peratus sejak tahun 2000.

"Kadar kemiskinan meningkat daripada 5.6 menjadi 8.4 peratus," katanya.

Johari berkata, lebih daripada 100,000 perusahaan kecil dan sederhana telah menghentikan beroperasi.

Artikel Berkaitan:

"Kita selalu dengar berita mengenai pelabur yang mempertimbangkan untuk keluar dari negara ini kerana 'kebijakan' yang tidak konsisten," katanya.

Tambahnya, Malaysia ketinggalan berbanding negara-negara jiran, termasuk Vietnam, yang kini merupakan pengeksport produk pembuatan terbesar di ASEAN.

"Sebenarnya, pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia adalah yang terendah di rantau ini," katanya.

Menurutnya, kerajaan mesti melibatkan syarikat multinasional, syarikat asing dan tempatan bagi menyelami keperluan mereka sekali gus sebarang masalah yang timbul dapat ditangani dengan baik.

Ujarnya, kerajaan perlu melaksanakan rancangan bantuan pendapatan komprehensif bersasar terutamanya golongan B40 agar ada makanan di atas meja.

Mengulas mengenai pembentukan kabinet kerajaan Malaysia oleh Ismail Sabri, Johari berkata, beliau sebenarnya mengharapkan ia dibentuk merentasi parti (bipartisan).

"Sekurang-kurangnya perkenalkan beberapa wajah muda yang segar untuk menyuntikkan lebih banyak tenaga dan semangat.

"Susunan menteri kabinet tidak memberangsangkan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!