Terpaksa sewa mesin oksigen untuk suami

Jasilawati (kiri) mendengar Mustafa (tengah) bertanya sesuatu kepada Suhaimi di rumahnya di Kampung Daching Hulu, Seremban pada Khamis.
Jasilawati (kiri) mendengar Mustafa (tengah) bertanya sesuatu kepada Suhaimi di rumahnya di Kampung Daching Hulu, Seremban pada Khamis.
A
A
A

SEREMBAN - Menghidap penyakit lemah jantung, kencing manis, darah tinggi dan paru-paru berair sejak dua tahun lalu menyebabkan seorang lelaki di Kampung Daching Hulu, di sini bergantung hidup dengan mesin oksigen.

Suhami Sulaiman, 48, kini memerlukan penjagaan daripada isteri, Jasilawati Abdul Rajab, 48.

Menurut Jasilawati, suaminya mula bergantung kepada alat bantuan pernafasan itu sejak awal tahun ini.

"Dulu suami kerja kilang, dah dua tahun tidak bekerja dan dia mula terlantar sejak tahun ini.

"Dia memang tak boleh berjalan langsung dan tanpa mesin oksigen itu, dia susah nak bernafas," katanya kepada Sinar Harian selepas menerima kunjungan daripada Ketua UMNO Bahagian Seremban, Mustafa Salim pada Khamis.

Oleh sebab itu Jasilawati terpaksa menyewa mesin oksigen daripada pihak swasta dengan bayaran RM300 sebulan.

Katanya, mahu membeli mesin oksigen, tetapi tidak mampu kerana harganya dianggarkan RM5,000.

"Kalau ikutkan memang nak beli terus, tak perlu lagi bayar sewa tiap-tiap bulan.

Artikel Berkaitan:

"Tapi manalah saya ada duit sebanyak itu dalam keadaan saya yang hanya bekerja sebagai kerani dengan gaji hari," katanya.

Sementara itu katanya, pada tahun 2019, suaminya pernah memohon pencen ilat daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), namun diberitahu tidak layak kerana dilihat masih mampu untuk bekerja.

Namun kata Jasilawati, melihat keadaan kesihatan suami yang semakin merosot dan pada masa sama perlu menanggung kos perubatan dan lampin pakai buang suami, dia sangat mengharapkan pencen ilat berkenaan.

"Saya dalam proses nak mohon semula pencen ilat untuk suami dan harapnya kali ini pihak Perkeso dapat mempertimbangkannya semula.

"Adalah beberapa pihak yang datang membantu, tapi saya pun tak selesa juga jika berterusan harap bantuan orang dan jika suami dapat pencen ilat itu legalah sikit hati saya," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!