DPPNK perjelas isu solat atas batu berjeram di Yan

Gambar tular memaparkan sekumpulan anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) menunaikan solat atas batu berjeram di Yan, baru-baru ini.
Gambar tular memaparkan sekumpulan anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) menunaikan solat atas batu berjeram di Yan, baru-baru ini.
A
A
A

ALOR SETAR - Tular di media sosial beberapa gambar dan video memaparkan sekumpulan anggota Jabatan Amal Malaysia (JAM) menunaikan solat atas batu berjeram di Yan, baru-baru ini.

Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Pemuda Pas Negeri Kedah (DPPNK), Mohd Saifuddin Hassan tampil menjelaskan situasi sebenar berlaku ketika menjalankan kerja-kerja kebajikan membantu mangsa banjir lumpur akibat fenomena kepala air Gunung Jerai pada Rabu minggu lepas.

Mohd Saifuddin berkata, sekumpulan petugas yang melakukan operasi baik pulih sistem perparitan di puncak gunung berkenaan melakukan solat jemaah apabila masuk waktunya.

"Untuk kembali ke kaki gunung, petugas perlu berjalan sejauh dua kilometer (km) untuk menunaikan solat sebelum berjalan sejauh dua kilometer untuk naik semula ke puncak untuk melakukan kerja baik pulih di lokasi terlibat.

"Jadi, petugas memilih batu yang stabil dan kawasan kurang curam bagi menunaikan kewajipan solat," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat ketika diminta mengulas gambar yang tular menunjukkan sekumpulan individu solat atas batu.

Katanya, petugas menunaikan solat dipimpin Ustaz Fawwaz Mat Jan di kawasan berkenaan berikutan tiada kawasan lapang dan bersesuaian berikutan fenomena kepala air Gunung Jerai berlaku pada Rabu lepas.

"Malah, kawasan berbukit berkenaan juga dipenuhi selut menyebabkan petugas memilih kawasan hamparan batu sungai laluan air terjun yang dirasakan lebih bersih dan selamat untuk mendirikan solat," katanya.

Sehubungan itu,menurutnya yang juga dikenali sebagai Nakaie Naka, beliau berharap orang awam tidak membuat tuduhan sebarangan sekiranya tidak mengetahui kisah sebenar berhubung perkara itu.

Artikel Berkaitan:

Menerusi Instagram Ustaz Abdullah Khairi, beliau menjelaskan solat sah dari sudut hukum fiqh kerana mereka bukan menyelam dalam air yang menyebabkan ada kemungkinan tertelan air.

"Mereka umpama bersolat di atas lantai yang basah. Solat di atas lantai yang basah sah solat, termasuklah di atas batu sungai yang basah. Adakah sah solat dalam pakaian yang basah. Sah, selagi tidak menampakkan warna kulit pada anggota aurat.

"Sepertimana bersolat dalam hujan, sah hukumnya. Kita pun dapat lihat pakaian mereka tidak menampakkan warna kulit sekalipun basah," katanya.

Menurutnya, ada yang mempersoalkan tindakan kumpulan itu bersolat di tempat berair dan mengapa tidak menunaikan di kawasan daratan.

"Kita tidak bersama mereka, jadi kita tidak tahu bagaimana situasi dan keadaan mereka di sana. Mungkin di daratan penuh dengan lumpur dan tanah yang lecah dan berselut," katanya.

Beliau berkata, disebabkan itu, solat di atas batu sungai lebih diyakini bersih dan selesa dan mereka terus solat apabila masuk waktu sebelum menyambung kerja mereka, yang mana hendak turun keluar hutan mungkin lewat.

"Kenapa mereka riak dengan mengambil gambar ketika bersolat. Sebenarnya, lebih baik kita wangikan hati kita dengan berhusnuzhon (berprasangka baik), mereka ingin berdakwah dan beri galakkan supaya bersolat jemaah walau di mana sahaja dan dalam apa jua keadaan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!