Ahmad Faizal mampu galas tugas bangunkan belia

ASWANNUDIN
ASWANNUDIN
A
A
A

IPOH - Majlis Belia Negeri (MBN) Perak menyambut baik pelantikan Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baharu.

Presidennya, Aswannudin Hariffudin berkata, mengenali Ahmad Faizal ketika menjadi Menteri Besar Perak sebelum ini, pemimpin itu mampu menggalas tugas untuk menyelesaikan masalah dihadapi golongan belia.

Jelas beliau, banyak permasalahan berhubung pembangunan belia di negeri ini berjaya diselesaikan dengan baik sewaktu Ahmad Faizal menerajui Perak.

"Antara isu utama yang diutarakan kepada beliau adalah mengenai permasalahan bantuan pentadbiran yang dihadapi oleh pertubuhan belia peringkat negeri dan daerah di Perak. Alhamdulillah bantuan segera telah disalurkan secara terus kepada pertubuhan belia berkenaan.

"Selain itu juga, beberapa ruang dan peluang dalam lantikan negeri telah diberikan kepada golongan generasi baharu sebagai mengiktiraf peranan belia di Perak," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, pelantikan itu juga merupakan suatu pengiktirafan kepada tokoh yang lahir daripada pertubuhan belia itu sendiri kerana Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu merupakan bekas pemimpin Belia 4B Malaysia.

Aswannudin berkata, Ahmad Faizal juga seorang yang mudah didekati dan terbuka untuk mendengar pandangan belia di Perak.

"Dengan keberadaan Ahmad Faizal sebagai Menteri Belia dan Sukan, saya yakin peranan serta pengiktirafan golongan belia akan dapat dipertingkatkan lagi.

Artikel Berkaitan:

"Saya dapat melihat keterujaan dalam kalangan kepimpinan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) belia di peringkat kebangsaan mahupun di peringkat negeri untuk bekerjasama secara erat dengan Menteri Belia dan Sukan yang baharu demi pembangunan belia Malaysia," katanya.

Pada Jumaat, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai anggota kabinet beliau dan Ahmad Faizal antara muka baharu yang dilantik sebagai Menteri Belia dan Sukan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!