Jabatan Kesihatan Pulau Pinang nafi berlaku penularan varian Delta
GEORGE TOWN - Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) pada Jumaat menafikan mesej yang tular menerusi aplikasi WhatsApp bahawa kononnya telah berlaku penularan Covid-19 varian jenis Delta di beberapa kawasan di negeri ini.
Menurut kenyataan JKNPP, mesej itu juga memaklumkan kononnya jabatan itu telah mengenal pasti 180 individu di kawasan George Town yang dijangkiti varian itu, walhal perkara tersebut tidak betul.
"Berita palsu yang disebarkan menerusi WhatsApp itu memaklumkan orang ramai agar mengelak untuk pergi ke kawasan Lebuh Light, Jalan Pantai, Lebuh Victoria, Lebuh King, Lebuh Queen, Lebuh Chulia, Lebuh China, Lebuh Pasar, Jalan Gereja, Pengkalan Weld, Gat Lebuh Gereja, Gat Lebuh Pasar dan Gat Lebuh Chulia kerana berlaku penularan varian jenis Delta," kata JKNPP dalam kenyataan yang dikongsi di laman Facebook rasmi jabatan itu pada Jumaat.
Berita palsu tersebut turut mendakwa bahawa Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan berikutan penularan varian berkenaan di George Town yang kini diklasifikasikan sebagai zon merah.
JKNPP menegaskan semua mesej yang ditularkan itu adalah tidak benar dan orang ramai diminta agar tidak menyebarkan berita palsu. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!