Tidak benarkan pulang, punca pesakit Covid-19 bertindak agresif
SUNGAI BULOH - Permintaan untuk pulang ke rumah ditolak antara punca seorang pesakit Covid-19 bertindak agresif mencederakan petugas Hospital Sungai Buloh sebelum cuba melarikan diri dalam kejadian 23 Ogos lalu.
Pengarah Hospital Sungai Buloh, Dr Kuldip Kaur berkata, ketika kejadian lelaki berkenaan ditempatkan di wad aras lima pada hari kedua selepas disahkan positif Covid-19.
Menurutnya, permintaan pesakit itu ditolak disebabkan berada dalam kategori 3A yang masih memerlukan rawatan dan perhatian lanjut.
"Pesakit berkenaan turut bertindak mencederakan seorang jururawat serta cuba mencederakan pesakit-pesakit yang sedang menerima rawatan di dalam wad aras sama.
"Ketika pesakit itu duduk di bingkai tingkap hospital, beberapa petugas hospital termasuk pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan telah berusaha menariknya ke dalam namun pesakit berkenaan jatuh dan mengalami kecederaan," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Video kejadian tersebut sebelum ini tular di media sosial memaparkan situasi pesakit tersebut yang duduk di bingkai tingkap hospital dan cuba diselamatkan petugas hospital namun tidak berjaya menyebabkan mangsa terjatuh ke bawah.
Mengulas lanjut, Dr Kuldip berkata, sejurus insiden itu, kod biru (code blue) telah diaktifkan dan petugas perubatan segera memberikan rawatan kecemasan ke atas pesakit itu.
"Sehingga kini, pesakit berkenaan sudah menjalani sebanyak dua kali pembedahan dan masih dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan bantuan pernafasan.
"Bagi mengelak insiden berulang, semua tingkap di wad yang ketika ini terpaksa dibuka bagi tujuan pengudaraan telah dihadkan keluasan bukaan dengan cara menukar engsel kekal," katanya.
Selain itu katanya, petugas barisan hadapan hospital berkenaan juga dikehendaki mengenal pasti pesakit berisiko untuk diberikan perhatian dan rawatan khusus oleh pihak wad.
Tambahnya, pihak hospital telah membuat laporan polis dan insiden tersebut masih dalam siasatan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!