Pas jamin beri komitmen terbaik
SHAH ALAM – Pas mengucapkan terima kasih dan menghargai kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada parti itu dengan pelantikan tiga orang ahli Parlimennya sebagai menteri dan lima orang timbalan menteri dalam pembentukan kabinet baharu pada Jumaat.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu memberi jaminan akan memastikan wakil-wakilnya sama ada dalam kerajaan dan penyokong kerajaan memberikan komitmen terbaik membantu segala dasar yang dibawa oleh Ismail Sabri ke arah mencapai matlamat memulihkan negara.
“Terutamanya dalam aspek kesihatan, ekonomi, sosial dan perpaduan rakyat,” katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.
Takiyuddin menambah, parti itu yakin kepimpinan Ismail Sabri yang berkonsepkan ‘Keluarga Malaysia’ merentasi agama, bangsa, suku kaum dan fahaman politik akan mampu menggarap seluruh tenaga dalam dan luar kerajaan.
“Untuk masing-masing berperanan ke arah mencapai tahap negara aman, sejahtera dan adil untuk semua,” ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!