Beri perhatian negeri dengan peningkatan kes tinggi

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGE TOWN - Kerajaan Pulau Pinang menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan barisan kabinet baharunya untuk memberi perhatian kepada negeri-negeri yang menyaksikan peningkatan kes Covid-19 sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, beliau berharap kerajaan Persekutuan akan menghulurkan bantuan kepada negeri terbabit termasuk Pulau Pinang.

"Saya meminta PM baharu, Menteri Kesihatan baharu dan menteri lain yang berkaitan untuk membantu negeri-negeri ini... sama ada untuk mempercepat vaksinasi atau mengambil langkah-langkah dalam inisiatif penjagaan kesihatan awam dan memastikan kemudahan penjagaan kesihatan awam mencukupi bagi menangani peningkatan kes Covid-19," katanya pada sidang akhbar di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, ketika ini terdapat kadar kesihatan lebih tinggi akibat Covid-19 di Pulau Pinang dan perkara itu seharusnya menjadi perhatian utama semua pihak.

Pulau Pinang menyaksikan peningkatan kes Covid-19 pada Khamis dengan mencatat angka harian tertinggi bagi kes baharu iaitu sebanyak 2,078 sejak pandemik itu melanda negara pada Mac tahun lalu.

Negeri itu juga merekodkan jumlah kematian tertinggi pada Khamis dengan 31 kes.

Sebelum itu, Kon Yeow dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Pulau Pinang akan menerima sejumlah 20,000 dos vaksin Covid-19 yang disumbangkan oleh kerajaan negeri Selangor pada Selasa depan.

"Kami berharap sumbangan ini akan mempercepat program vaksinasi di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kerajaan Negeri Pulau Pinang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri Selangor atas sumbangan itu serta Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng atas inisiatifnya dalam mendapatkan sumbangan tersebut.

Bagaimanapun katanya, pinjaman vaksin itu masih menunggu kelulusan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Justeru beliau berkata, setiausaha kerajaan negeri Pulau Pinang telah menulis surat kepada Ketua Setiausaha MOSTI semalam berhubung kelulusan bagi pinjaman itu dan pengembaliannya kelak.

Pada Khamis, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar, Dr Norlela Ariffin menzahirkan penghargaan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, Exco Kesihatan Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud dan Klinik SelCare kerana meluluskan pinjaman 200,000 dos vaksin Covid-19. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!