CITF benarkan Pulau Pinang pinjam 200,000 dos vaksin dari Selangor
GEORGETOWN - [DIKEMASKINI] Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) tiada halangan untuk membenarkan Pulau Pinang meminjam sebanyak 200,000 dos vaksin Covid-19 dari Selangor untuk mempercepatkan kadar vaksinasi di negeri berkenaan.
Ketua Setiausaha MOSTI, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir berkata, pihaknya telah meneliti permohonan yang dikemukakan oleh kerajaan Pulau Pinang dan telah memberikan kebenaran melalui surat yang disampaikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Datuk Seri Abdul Razak Jaafar pada Jumaat.
"Berkenaan perkara ini, sukacita dimaklumkan bahawa pihak CITF telah meneliti permohononan yang dikemukakan oleh kerajaan Negeri Pulau Pinang.
"CITF tiada halangan untuk membenarkan hasrat Negeri Pulau Pinang untuk membuat peminjaman dari Negeri Selangor sebanyak 200,000 dos vaksin COVID-19 untuk kegunaan mempercepatkan kadar vaksinasi COVID-19 di Negeri Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian pada Jumaat.
ARTIKEL BERKAITAN: Pulau Pinang tunggu kelulusan MOSTI
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan kerajaan Pulau Pinang telah menghantar surat kepada Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) berhubung kelulusan proses pinjaman vaksin dari Selangor.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Pulau Pinang berhasrat meminjam bekalan 200,000 dos vaksin dari negeri itu seperti yang diumumkan Exco Agroteknologi dan Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin pada Rabu.
Bagaimanapun jelasnya, proses itu masih tertakluk kepada kelulusan MOSTI.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!