Pesara tentera hias basikal semarakkan sambutan merdeka
KUBANG PASU - Seorang pesara tentera memanfaatkan masa terluangnya menghias sebuah basikal bertemakan kemerdekaan sempena sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos ini.
Yazid Yusoff, 67, berkata, idea itu tercetus selepas dia berhasrat mencipta kelainan bagi memeriahkan sambutan kemerdekaan pada tahun ini.
Katanya, sebelum ini, saban tahun dia bersama penduduk di Taman Kenanga, Jitra di sini akan menghias kawasan perumahan mereka dengan kibaran bendera.
"Tetapi tahun ini saya cuba cipta kelainan melalui basikal berhias berbekalkan modal RM500," katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kenanga pada Jumaat.
Menurutnya, dia mengambil masa selama sebulan untuk menyiapkan proses menghias dan membaik pulih basikal berkenaan yang dibeli pada tahun lalu.
"Alhamdulillah kebanyakan kerja-kerja ini turut dibantu oleh adik ipar saya (Malik Endut, 61) yang tinggal berdekatan sini," katanya.
Yazid berkata, walaupun Hari Kemerdekaan ke-64 disambut dalam suasana norma baharu, namun hari bersejarah itu tetap perlu diraikan.
"Sebagai seorang pesara tentera semangat kemerdekaan dalam diri saya sentiasa berkobar-kobar. Malah saya juga berhasrat untuk mengayuh basikal berkenaan sekitar pekan Jitra pada 31 Ogos ini.
"Ini adalah cara saya untuk mengajak orang ramai bersama-sama menyemarakkan sambutan hari bersejarah ini.
"Alhamdulillah walaupun belum tiba 31 Ogos namun apabila saya mengayuh basikal ini di sekitar kawasan perumahan, ramai yang berminat untuk bergambar dan turut merasai pengalaman mengayuh basikal terbabit," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!