Jalur Gemilang gergasi guna barang terpakai

Bendera gergasi siap dipasang minggu lalu sempena menyambut Bulan Kemerdekaan.
Bendera gergasi siap dipasang minggu lalu sempena menyambut Bulan Kemerdekaan.
A
A
A

RAWANG - Penduduk Blok 1b di Bandar Tasik Puteri di sini membina bendera gergasi sebesar 3.3 x 7.4 meter persegi menghiasi Jalan 2/22 sebelah blok itu minggu lalu sempena menyambut Bulan Kemerdekaan.

Jalur Gemilang yang menggunakan barangan terpakai itu dibina oleh penduduk yang juga pekebun bandar.

Penduduk, Roslin Md Yasan, 42 berkata, idea itu tercetus kira-kira dua bulan lalu dengan menggunakan barangan utama termasuk kira-kira 11 kanvas yang dicantumkan selain tali kerbau di keliling bendera serta cat.

"Hampir 15 penduduk secara bergilir-gilir datang menyiapkan bendera ini yang siap dan dipasang minggu lepas.

"Kami tidak menggunakan modal yang banyak kerana banyak menggunakan barangan terpakai dan ada yang disumbangkan oleh penduduk secara sukarela," katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurutnya, projek yang boleh dianggap 'ad-hoc' itu memberi kepuasan kepada penduduk yang aktif dalam komuniti melalui pelbagai aktiviti.

"Tahun lepas kami sambutan Hari Kemerdekaan hanya memasang bendera di rumah masing-masing.

"Tahun ini lebih istimewa kerana tengah Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), ramai yang ada di rumah, jadi tercetuslah idea bendera gergasi ini, " katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bulan kemerdekaan sangat mencabar dan berharap aktiviti pemasangan bendera seperti itu dapat menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan penduduk.

"Ramai rakyat yang terjejas dalam situasi pandemik dan keadaan politik yang tidak stabil dan kami berharap rakyat Malaysia bersatu membina semula Malaysia," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!