Rumah masih berlumpur, Jalur Gemilang tetap teguh berkibar

Rosli bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang di rumahnya di Jalan Masjid, Yan di sini. - Foto Bernama
Rosli bersemangat mengibarkan Jalur Gemilang di rumahnya di Jalan Masjid, Yan di sini. - Foto Bernama
A
A
A

YAN - Di sebuah rumah papan dua tingkat di Jalan Masjid, Pekan Yan di sini, kelihatan seorang lelaki begitu tekun memerhati sebuah jentera berat yang sedang menyodok lapisan lumpur hampir kering di halaman rumahnya yang turut ‘dihiasi’ beberapa lembaran Jalur Gemilang.

Biarpun masih terkesima dengan bencana banjir yang berlaku ekoran fenomena kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos lepas sehingga dianggap sebagai ‘tsunami kecil’ dalam kalangan penduduk, pesara tentera Rosli Mohamad, 51, masih lagi mampu mengukir senyuman.

Manakan tidak, ‘harta paling berharga’ buat seluruh rakyat Malaysia iaitu Jalur Gemilang sedikit pun tidak mengalami sebarang kerosakan akibat bencana itu, walhal air banjir ketika itu sangat deras sehingga mampu merosakkan bumbung zink rumahnya serta beberapa perkakas elektrik lain.

Tambah istimewa lagi, warnanya juga tidak luntur dan tidak disaluti lumpur mahupun kotoran sebagaimana yang boleh dilihat kesan lumpur pada setiap rumah di Jalan Masjid.

“Memang tiap-tiap tahun, saya pasang bendera sempena Hari Kebangsaan dan untuk tahun ini, saya dah pasang sebelum banjir lagi. Bila berlaku banjir, alhamdulillah bendera saya tak rosak walaupun air banjir masuk ke dalam rumah.

“Tetapi, barang elektrik, perabot semuanya rosak. Rumah juga penuh dengan lumpur, tapi saya bersyukur kerana saya dan keluarga selamat serta keadaan rumah pun tak banyak rosak,” katanya kepada Bernama.

Beliau yang kini bekerja sebagai tukang kebun di sebuah sekolah di sini berkata banjir yang berlaku sangat pantas sehingga dia dan keluarganya tidak sempat untuk menyelamatkan barang di dalam rumahnya namun bersyukur apabila bantuan yang diterima daripada pelbagai pihak tiba tidak putus-putus sejak minggu lepas.

Baginya, pelbagai bantuan yang dihulurkan kepada keluarganya dan penduduk di situ sama ada berbentuk makanan mahupun membersihkan rumah adalah harga keharmonian yang dinikmati hasil kemerdekaan negara selama ini apabila masyarakat pelbagai bangsa sanggup datang dari jauh untuk bersama-sama membantu biarpun dalam situasi pandemik.

Artikel Berkaitan:

“Kami sekeluarga dan penduduk di sini sangat menghargai bantuan diterima. Inilah nikmat perpaduan yang dirasai. Kerana itu, bagi saya pengibaran Jalur Gemilang dan menghiaskan rumah dengannya merupakan sedikit inisiatif yang saya lakukan bagi menyahut seruan kerajaan untuk menyemarakkan lagi semangat patriotisme.

“Kita seharusnya bersyukur dengan apa yang kita ada sekarang dan walau apa jua keadaan sama ada ditimpa musibah seperti apa yang berlaku kepada kami iaitu banjir, ia tidak seharusnya mematahkan semangat untuk mengibarkan bendera negara terutamanya sepanjang tempoh sambutan Hari Kebangsaan,” katanya.

Mengulas mengenai semangat patriotisme Rosli, Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Datuk Dr Teo Kok Seong berkata, ia wajar dicontohi memandangkan ketika ini didapati tidak ramai yang mengambil inisiatif mengibarkan Jalur Gemilang di rumah mahupun kenderaan mereka.

Beliau berkata, semangat patriotisme Rosli yang tidak luntur menyambut Hari Kebangsaan biarpun ditimpa musibah besar adalah jelas memaparkan rasa bersyukurnya kepada keamanan dan apa yang dinikmati hasil daripada kemerdekaan negara.

“Musibah ini mengajar mereka untuk lebih menghargai dengan apa yang mereka ada. Ini merupakan satu tanda kesyukuran dan semangat mengibarkan bendera di kala musim pandemik dan ditimpa musibah wajar dicontohi ramai pihak.

“Biarpun ada menyatakan rasa cinta kepada negara tidak semestinya mengibarkan bendera, namun apabila kita bercakap mengenai rasa cinta, ia mesti dizahirkan dan mengibarkan bendera merupakan antara satu cara menzahirkan patriotisme kita kepada negara,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!