Sindiket tipu tawaran kerja babit kerugian lebih RM2.3 juta tumpas

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiga orang ahli sindiket penipuan tawaran kerja dalam talian membabitkan jumlah kerugian mencecah RM 2,394,430 ditahan dalam satu serbuan ke atas sebuah kondominium mewah di Taman Desa Skudai, Johor pada Khamis.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, serbuan tersebut dijalankan dengan kerjasama daripada Jabatan Ehwal Komersial (CAD) Polis Singapura.

Menurutnya, modus operandi sindiket terbabit adalah dengan menggunakan media sosial untuk menawarkan pekerjaan sebagai ejen pembelian barangan yang diiklankan menerusi platform e-dagang kononnya untuk menaikkan rating dan nilai syarikat berkenaan.

“Mangsa yang berminat akan menerima mesej menerusi aplikasi WhatsApp yang mengandungi pautan untuk barangan yang perlu dibeli. Pendapatan harian yang dijanjikan adalah antara RM200 hingga RM300.

“Mangsa akan dibayar semula mengikut nilai barangan yang dibeli beserta tambahan komisen antara lima hingga lapan peratus. Proses sama akan berulang-ulang dengan barangan yang murah,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Bagaimanapun katanya, pembayaran nilai barang dan komisen akan terhenti selepas mangsa membuat pembelian dengan nilai yang besar.

"Malah, mereka akan dipaksa untuk membayar sejumlah wang kepada pihak sindiket kononnya sebagai yuran pemprosesan, penalti cukai dan kadar tukaran wang asing," katanya.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati, sindiket tersebut turut mempunyai kaitan dengan rangkaian jenayah antarabangsa dan dipercayai bergiat aktif sejak bulan Jun lalu.

“Berpandukan rampasan yang dibuat, dipercayai sindiket ini mempunyai kaitan dengan 95 laporan polis di Singapura dengan nilai kerugian berjumlah SG$690,000 dan sekurang-kurangnya satu di Malaysia melibatkan kerugian bernilai RM21,700,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, tiga lelaki dalam lingkungan umur antara 21 hingga 27 tahun yang ditahan itu dipercayai berperanan sebagai pemindah wang daripada akaun keldai ke dalam akaun e-dompet milik dalang sindiket tersebut.

“Mereka ditugaskan untuk membuat pembelian matawang kripto (USDT) dan menerima komisen 0.2 peratus dengan nilai anggaran berjumlah SG$600 setiap hari," katanya.

Mohd Kamarudin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 Akta Jenayah Komputer 1997, Akta Pencegahan Jenayah 1959, dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!