Wanita, anaknya cedera selepas cuba kejar peragut
CHEMOR - Seorang wanita cedera manakala anak lelakinya berusia tiga tahun patah bahu selepas terjatuh dari motosikal ketika mengejar peragut di persimpangan lampu isyarat Chemor Impian di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 8.40 pagi itu, dua beranak itu baru pulang dari Klinik Kesihatan Tanah Hitam dan dalam perjalanan pulang ke rumahnya mereka di Taman Klebang Jaya di sini.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, wanita berusia 49 tahun itu menunggang motosikal manakala, anak lelakinya duduk di raga depan bersama beg tangannya.
"Siasatan awal mendapati mangsa membelok masuk ke kawasan taman perumahan dan didatangi seorang lelaki bermotosikal dari sebelah kanan dan terus mengambil beg tangan mangsa sebelum melarikan diri.
"Mangsa yang berasa marah kemudian memecut motosikalnya untuk mengejar suspek. Apabila sampai di jalan yang berpasir, motosikal mangsa hilang kawalan lalu terjatuh kerana ditunggang secara laju," katanya.
Menurutnya, mangsa kehilangan wang tunai berjumlah RM200, kad bank dan kad pengenalan miliknya serta empat anaknya.
"Mangsa tidak dapat cam wajah suspek kerana memakai topi keledar. Suspek juga menunggang motosikal jenis Yamaha Lagenda berwarna merah namun mangsa tidak mengingati nombor pendaftaran.
"Fotofit dijalankan dan pemantauan dilakukan bagi mendapatkan maklumat mengenai suspek. Tiada kamera litar tertutup (CCTV) dan saksi di tempat kejadian," katanya.
Mohd Ali berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan iaitu samun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!