Nazri Aziz akan bersara dari politik, tidak bertanding PRU15

Mohamed Nazri Aziz
Mohamed Nazri Aziz
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mengesahkan beliau tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) setelah enam kali memenanginya tanpa pernah kalah sekali gus bersara dari dunia politik.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, sudah tiba masa untuk beliau bersara dan waktunya dilihat sesuai.

“Sekarang ini kalau lihat pada realiti dan hakikat, peralihan pimpinan daripada satu angkatan ke satu angkatan baharu telah berlaku di peringkat pusat. Angkatan saya yang lama sudah tiada.

“Sekarang ini angkatan yang baharu iaitu angkatan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan orang yang seumur dengannya seperti Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang mengambil tampuk kerajaan ini.

“Saya nak menyesuaikan peralihan ini berlaku juga di peringkat akar umbi. Oleh kerana itu, saya mengambil kesempatan waktu ini untuk menyatakan saya hendak bersara sebagai ahli Parlimen dan juga Ketua Bahagian UMNO,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Mengulas mengenai penggantinya di Padang Rengas, Mohamed Nazri berkata, generasi pelapis di kawasannya itu akan menentukan siapa yang mereka dimahukan.

“Saya mahu di peringkat bahagian menentukan siapa yang mereka mahu sebab saya tidak pernah mengamalkan geng atau fraksi. Jadi, mereka pilih sendiri siapa yang mereka hendak.

“Lagipun ada pemilihan parti tidak lama lagi bukan sahaja berlaku di peringkat pusat tetapi di peringkat bahagian. Saya serah kepada bahagian untuk memilih siapa yang mereka mahukan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Nazri dikenali sebagai seorang ahli Parlimen UMNO yang lantang bersuara antaranya pernah mendesak Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meletak jawatan sebagai Presiden.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!