Pasar malam, pasar pagi operasi selepas peniaga, pekerja lengkap vaksin

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

MELAKA - Operasi pasar malam dan pasar pagi di Melaka hanya akan dibenarkan selepas semua peniaga dan pekerja menerima dos lengkap vaksin Covid-19, kata Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Beliau berkata, ini bagi memastikan keselamatan orang ramai sekali gus selaras dengan usaha kerajaan negeri untuk mencapai imuniti kelompok menjelang Oktober.

"Kerajaan negeri sedang giat mempercepat pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan berkenaan menerusi Program Vaksinasi Industri Peruncitan (RiVAC) serta kerjasama swasta bersama pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Jawatankuasa Khas Menangani Covid-19 negeri juga akan membuat penilaian secepat mungkin bagi memastikan operasi perniagaan pasar malam dan pasar pagi berkenaan dapat dijalankan secepat mungkin," katanya dengan menambah kerajaan negeri sedang menunggu data jumlah peniaga yang telah divaksinasi.

Sulaiman berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Vaksinasi dan Trauma Penjaja, Peniaga dan Penyewa Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya yang berlangsung selama dua hari bermula pada Sabtu, melibatkan kira-kira 1,500 penerima vaksin.

Program tersebut merupakan kerjasama bersama Petronas Cub Prix, Mercy Malaysia, Kementerian Kesihatan dan Universiti Multimedia.

Sulaiman juga berkata, Melaka sudah mencapai 50 peratus vaksinasi bagi individu dewasa 18 tahun ke atas yang lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 dan yakin negeri itu akan beralih ke Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara menjelang September ini.

Bagaimanapun, katanya, perkara itu tertakluk kepada keputusan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara.

Artikel Berkaitan:

“Saya yakin selepas ini akan ada mesyuarat Majlis Keselamatan Negara dan kita mohon agar Melaka dipindahkan ke Fasa Dua apabila nilai ambang dinilai semula kepada mereka telah mendapat 50 peratus vaksinasi.

“Dalam masa yang sama, peralihan ini akan lebih cepat sekiranya penjadualan vaksin sampai ke negeri Melaka seperti mana yang dijadualkan,” katanya. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!