'Strategi kami menjadi'- Jurulatih
TOKYO - [DIKEMAS KINI] Risiko tinggi dipertaruhkan kem powerlifting negara ke atas Bonnie Bunyau Gustin membuahkan hasil apabila berjaya menghadiahkan emas pertama negara di Sukan Paralimpik Tokyo.
Jurulatih Kebangsaan, Jamil Adam memaklumkan mereka mengambil keputusan untuk Bonnie memulakan saingan dalam kategori lelaki 72 kilogram (kg) dengan angkatan 217kg, yang dilihat jauh lebih berat daripada atlet lain menerusi percubaan pertamanya dalam saingan yang berlangsung di Tokyo International Forum [pada Sabtu.
Katanya, percaturan mereka itu dilihat sebagai amaran yang dilaungkan atlet Sarawak itu kepada atlet lain dalam usahanya untuk meraih emas dalam penampilan pertamanya di pentas Paralimpik di sini.
“Strategi kami sebenarnya mahu Bonnie melakukan angkatan 220kg dalam percubaan pertama namun kami putuskan untuk mengambil jalan selamat terlebih dahulu menerusi bebanan 217kg untuk membina keyakinannya,” katanya dalam sidang media secara maya.
Atlet China, Hu Peng, dilihat sebagai pencabar paling hampir dengan jumlah bebanan diangkat Bonnie, menerusi angkatan seberat 208kg, namun percuban pertamanya gagal dan membuka ruang kepada Bonnie untuk menghasilkan angkatan menakjubkan selepas itu.
Beliau yang menemui rentak selepas percubannya, terus cemerlang melakukan angkatan kedua dengan 225kg sebelum memecah rekod Paralimpik dipegang Rasool Mohsin dari Iraq dilakukan di Rio 2016 iaitu 227kg, dengan angkatan seberat 228kg.
Beliau bagaimanapun tidak berjaya untuk melakukan angkatan seberat 231kg dalam percubaan keempatnya untuk memecah rekod dunia miliknya sendiri iaitu 230kg dilakukan pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas.
Pingat perak dimenangi atlet Mesir, Mahmoud Attia dengan angkatan terbaik 191kg manakala gangsa milik Micky Yule dari Great Britain menerusi angkatan bebanan 182kg.
Jamil yang menyambut ulang tahun kelahirannya ke-52 pada Jumaat menyifatkan anak buahnya sebagai atlet luar biasa apabila memiliki komitmen serta disiplin tinggi bagi menggenggam emas diidamkannya itu.
Beliau percaya atlet berusia 22 tahun itu mampu merangkul emas di sini apabila memberikan fokus 100 peratus dalam sesi latihan mahupun pertandingan disertainya selain tidak gentar dengan mana-mana pencabarnya.
Katanya, Bonnie mempunyai masa depan yang cerah untuk menempa lebih banyak kejayaan pada masa depan termasuk mengintai peluang untuk mempertahankan pingat di Paris 2024.
Mula mengesan bakat Bonnie sejak berumur 13 tahun selepas sering mengikuti bapanya, Gustin Jenang, yang merupakan pemenang gangsa kategori 59kg di Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017, dalam sesi latihan sebelum ini, Jamil berkata, pencapaian dilakar atlet itu pada Sabtu merupakan pencapaian terbesarnya semenjak mula mewakili negara pada 2017.
Sementara itu, Jamil berharap agar kejayaan Bonnie mampu memberi inspirasi kepada seorang lagi wakil powerlifting negara, Jong Yee Khie untuk memperagakan angkatan terbaik dalam acara 107 kg ke atas, Isnin ini. - Bernama
Sementara itu, Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yakin kejayaan Bonnie hari ini mampu memberi rangsangan positif kepada atlet lain untuk cuba mencapai sasaran tiga emas ditetapkan sebelum ini.
“Tahniah Bonnie, Majlis Sukan Negara, Institut Sukan Negara dan barisan kejurulatihan di atas pencapaian ini, terima kasih semua, the best is yet to come (diharap banyak berita lebih baik muncul),” katanya.
Beliau juga berharap agar rakyat Malaysia terus mendoakan kejayaan atlet lain yang akan berjuang membawa cabaran negara sehingga 5 September ini. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!