Elak ulangi formula gagal untuk hasil berbeza
ALOR SETAR - Kerajaan seharusnya tidak mengulangi formula yang gagal untuk mendapatkan hasil berbeza dalam mentadbir negara.
Presiden Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Mohd Azmi Abdul Hamid berkata, adalah tidak masuk akal untuk melakukan kesilapan sama berkali-kali namun pada masa inginkan hasil berbeza.
Menurutnya, sepatutnya barisan kabinet baharu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dianggotai oleh individu yang memiliki merit kebolehan dalam bidang tertentu, bukan berdasarkan pertimbangan politik.
“Jika ternyata kaedah yang dilakukan oleh pemimpin terdahulu gagal, adalah kesilapan besar jika menggunakan kaedah sama oleh pasukan kabinet lebih kurang sama.
"Sepatutnya pemimpin memiliki merit dalam bidang bersesuaian dilantik untuk menggalas tanggung jawab sangat mencabar sekarang,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Mohd Azmi berkata, barisan kabinet kali ini sepatutnya dianggotai oleh individu yang benar-benar berkebolehan untuk memberi fokus kepada usaha menangani pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi.
“Negara sekarang dalam keadaan kritikal. Rakyat sudah menyatakan rasa tidak puas hati terhadap prestasi menteri dan timbalan menteri yang tidak efisien dalam fungsi mereka, berbanding gaji dan elaun yang dibayar mencecah puluhan ribu.
"Masalah pandemik terlalu mencabar dan memerlukan pasukan yang memiliki kepakaran tinggi untuk mencari penyelesaian tuntas,” katanya.
Menurutnya, dalam tempoh berbaki sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), jemaah kabinet yang dibentuk sepatutnya bukan untuk memenuhi tuntutan parti politik atau penyokong setia sebaliknya hendaklah pasukan yang mantap untuk menyelesaikan permasalahan negara selain membangunkan semula ekonomi yang lesu.
“Agak mengecewakan apabila barisan kabinet baharu nampaknya tidak berubah dari segi saiz mahupun keanggotaan, individu sama dipilih dan hanya beralih kementerian,” katanya.
Pada Jumaat, Ismail Sabri mengumumkan pembentukan kabinet membabitkan pelantikan seramai 31 menteri, termasuk empat menteri kanan serta 38 timbalan menteri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!