Kerajaan kaji pemberian pencen kepada semua bekas tentera
![Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (tengah) ketika hadir menyaksikan Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Bukit Bor, dekat sini, hari ini. Turut hadir Panglima Angkatan Tentera (PAT) Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat (PTD) Tan Sri Zamrose Mohd Zain. - Foto Bernama](https://www.sinarharian.com.my/uploads/images/2021/08/28/1183996.jpg)
BERA - Kerajaan akan melakukan kajian terperinci dalam aspek pemberian pencen kepada semua bekas anggota tentera termasuk mereka yang tidak cukup tempoh pencen masing-masing.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pada masa ini kajian membabitkan pelbagai aspek termasuk mendapatkan maklumat bekas-bekas anggota tentera yang telah menamatkan perkhidmatan awal.
Menurutnya, ia berikutan mereka yang menamatkan perkhidmatan sebelum tempoh 21 tahun tidak mendapat pencen.
"Walaupun ada Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) yang melatih tentera sebelum bersara tetapi tidak semuanya berjaya dalam perniagaan," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Eksesais Para Predator Siri 1/2021 di Kampung Batu Bor di sini pada Sabtu.
Hadir sama ialah Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang dan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain.
Ismail Sabri berkata, pada masa ini kajian sedang dilakukan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan bagi merealisasikan pemberian pencen kepada semua bekas anggota tentera.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan akan terus menambah baik aset pertahanan negara termasuk persenjataan berdasarkan kepada teknologi terkini walaupun aset pertahanan negara mencukupi.
"Apa yang dilihat hari ini (Eksesais Para Predator) jelas menunjukkan bahawa walau dalam keadaan aman sekalipun, kita tidak boleh leka. Sebab itulah eksesais yang besar seperti ini boleh dilakukan dari semasa ke semasa.
"Jadi sempena kemerdekaan ini, kita memberi jaminan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sentiasa bersedia untuk mempertahankan kedaulatan negara daripada sebarang ancaman," tambah beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!