Lima lelaki termasuk dua remaja ditahan memburu secara haram

A
A
A

KENINGAU - Dua remaja antara lima yang ditahan selepas didapati menjalankan kegiatan memburu secara haram di Batu 38 Nabawan, sempadan Hutan Simpan Ulu Pinangah pada Jumaat.

Operasi Bersepadu Khazanah yang dilaksanakan pada jam 4.10 petang oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) bersama Jabatan Perhutanan Sabah dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah itu turut berjaya merampas senjata api jenis bakakuk.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, semua suspek berusia antara 13 hingga 44 tahun itu ditahan ketika menaiki sebuah pacuan empat roda.

Katanya, hasil pemeriksaan menemui selaras bakakuk bersama 17 butir peluru yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pemburuan haram di kawasan berkenaan.

"Antara suspek yang ditahan termasuk dua remaja berusia 13 dan 16 tahun dan mereka dipercayai menjalankan aktiviti pemburuan haram di kawasan hutan simpan.

"Pasukan operasi turut merampas pelbagai barangan termasuk senjata api dan kenderaan yang dianggarkan bernilai keseluruhan RM47,170," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mohd Abduh berkata, semua suspek dan rampasan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Keningau untuk tindakan selanjutnya.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!