Tun M setuju VOA dilaksana di Langkawi
LANGKAWI - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad secara dasarnya bersetuju Visa Ketibaan (VOA) dilaksanakan di Langkawi.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, persetujuan tersebut dicapai dalam pertemuan antara beliau dengan Dr Mahathir yang juga Ahli Parlimen Langkawi baru-baru ini.
"Saya berbincang dengan Dr Mahathir berkenaan VOA ini untuk diadakan di Langkawi, beliau bersetuju dengan cadangan tersebut.
"Selepas ini saya akan tulis surat pula kepada Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (berkenaan cadangan tersebut)," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Tabung Khas Pelancongan SFT3 di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Pelancongan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MoTAC), Datuk Haslina Abdul Hamid.
Sementara itu, Haslina berkata, MoTAC mengadakan beberapa siri perbincangan bersama Kementerian Dalam Negeri berhubung cadangan mengadakan VOA di Langkawi.
"Dalam perbincangan tersebut kita kemukakan cadangan pelaksanaan VOA ini, perkembangan perbincangan itu sangat positif dan VOA itu dalam perancangan seperti yang dikatakan oleh Menteri tadi," katanya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!