Bonnie ikon atlet masa depan

Bonnie Bunyau Gustin melakukan angkatan pertama seberat 217 kilogram (kg) bagi kategori 72 kg pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Tokyo International Forum hari ini. -Foto Bernama
Bonnie Bunyau Gustin melakukan angkatan pertama seberat 217 kilogram (kg) bagi kategori 72 kg pada Kejohanan Sukan Paralimpik Tokyo 2020 di Tokyo International Forum hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

KETUA Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) Dr Ong Kong Swee menyifatkan pemenang pingat emas Paralimpik Tokyo Bonnie Bunyau Gustin sebagai model sukan dan ikon untuk atlet negeri dan negara pada masa depan.

Bonnie, 22, anak Bidayuh berasal dari Kampung Baru Mawang, Serian berjaya menghadiahkan emas pertama buat negara dalam acara powerlifting kategori 72 kilogram (kg) di Sukan Paralimpik Tokyo pada Sabtu dengan melakukan angkatan seberat 228 kg, sekali gus mencipta rekod baharu Sukan Paralimpik.

“Saya berharap lebih banyak pencapaian hebat disumbangkan oleh Bonnie pada kejohanan Asia dan Para Dunia akan datang dan Paralimpik seterusnya di Paris pada tahun 2024.

“Dia masih muda dan harus berdepan lebih banyak cabaran, dengan program latihan yang betul serta sokongan sains sukan dan perkhidmatan dari SSC dan Majlis Sukan Negara, saya pasti dia akan kekal cemerlang selama bertahun-tahun lagi,” kata Ong ketika dihubungi Bernama pada Sabtu.

Sementara itu, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, kerajaan negeri akan memberi insentif kepada Bonnie dan atlet negeri lain yang beraksi cemerlang di Paralimpik Tokyo.

Beliau berharap agar masyarakat sekarang melihat orang kelainan upaya (OKU) dalam pandangan yang berbeza, sambil menambah mereka tidak seharusnya melihat kecacatan mereka tetapi juga melihat potensi dan kemampuan golongan OKU.

“Marilah kita menyediakan akses yang lebih baik, peluang untuk mereka dari segi infrastruktur, pendidikan dan pekerjaan kerana kita mahu Sarawak menjadi masyarakat yang inklusif sosial tanpa sesiapa pun dipinggirkan,” tambah beliau. -Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!