Pemikir mohon menteri prihatin isu perumahan di Pulau Pinang

Muhamad Farid
Muhamad Farid
A
A
A

GEORGETOWN - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican diminta supaya melihat isu perumahan yang disifatkan sebagai mimpi buruk berpanjangan kepada bumiputera di Pulau Pinang.

Pengerusi Pertubuhan Badan Pemikir Melayu Pulau Pinang (Pemikir), Datuk Dr Muhamad Farid Saad berkata, pihaknya sedia untuk bekerjasama dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi membolehkan program di bawah kementerian itu terus memberi manfaat kepada semua pihak khususnya golongan bumiputera di negeri ini.

Beliau berkata, Rancangan Struktur Negeri Pulau Pinang 2030 yang dirangka juga dilihat tidak memberi jalan keluar bagi permasalahan itu terhadap rakyat Pulau Pinang.

"Selain rancangan struktur itu, beberapa projek mega juga didapati terus dirancang, sekali gus menyukarkan lagi pemilikan rumah terutama kepada bumiputera.

"Perkara ini semakin serius dengan adanya program 'Malaysia My Second Home' (MM2H) yang mana ia dilaporkan 37 peratus daripada ribuan rumah di bawah inisiatif ini terjual kepada warganegara China. Oleh demikian, Pemikir merasakan program MM2H ini harus diperketatkan lagi syaratnya," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Muhamad Farid berkata, beberapa teknologi seperti Sistem Bangunan Industri (IBS) dan inisiatif pemilikan perumahan kepada bumiputera di Pulau Pinang harus ditambah baik dan dibersihkan daripada manipulasi.

"Ia bagi membolehkan kediaman di Pulau Pinang lebih mampu milik buat bumiputera terutamanya belia, sekali gus selari dengan Dasar Perumahan Negara. Pulau Pinang adalah satu-satunya negeri di Malaysia yang keseluruhan negeri adalah di bawah pentadbiran Majlis Bandaraya.

"Sehubungan itu, kawasan kampung sepatutnya dilengkapkan dengan kemudahan prasarana lengkap, moden dan mencukupi seperti di kawasan bandar Georgetown tanpa mengganggu kedamaian kampung-kampung tradisi.

Artikel Berkaitan:

"Kawasan-kawasan yang telah digazetkan sebagai kawasan sawah padi dan hijau perlu dilarang untuk dizonkan semula sebagai kawasan pembangunan demi mengikut kehendak pemaju tanpa memikirkan kelangsungan kehidupan di situ," katanya.

Beliau berkata, Pemikir turut memohon agar Reezal Merican memberi perhatian kepada proses pembangunan fizikal dan sosioekonomi Pulau Pinang di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi memastikan ia dapat dijalankan dengan lebih seimbang dan mementingkan kepentingan bumiputera.

"Masjid, surau dan kampung-kampung Melayu perlu memainkan peranan lebih besar dalam kepentingan masyarakat dan terlibat dalam perbincangan selain memberikan idea yang bertambah baik kepada PBT dalam menyediakan kemudahan sosial, rekreasi dan peluang ekonomi menyeluruh.

"Tiga aspek Dasar Landskap Negara yang meliputi sosiobudaya, ekonomi dan alam sekitar perlu memelihara, memulihara dan mengangkat khazanah, warisan, budaya masyarakat bumiputera Pulau Pinang yang sudah tenggelam dan tersorok," ujar beliau.

Tambah beliau, pihaknya yakin dengan langkah itu yang diyakini dapat membina masyarakat mengamalkan agama, lebih kenal dan bangga dengan sejarah nenek moyangnya, seterusnya lebih bermotivasi untuk bersama-sama kerajaan dalam menjadikan Malaysia sebuah negara lebih gemilang dan makmur.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!