'Negaraku' akhirnya berkumandang di Tokyo
TOKYO - Setelah empat hari Sukan Paralimpik berlangsung, lagu Negaraku akhirnya berkumandang di sini apabila jaguh powerlifting negara, Bonnie Bunyau Gustin mencipta sejarah menyumbang emas pertama negara pada Sabtu.
Bonnie sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila mencatat kejayaan berganda dalam penampilan sulungnya di Sukan Paralimpik selepas turut memecahkan rekod temasya berkenaan dalam saingan diadakan di Tokyo International Forum.
Dalam percubaan ketiganya, badang kerdil berusia 22 tahun itu mengangkat bebanan seberat 228kg, bagi memadam rekod terdahulu milik Rasool Mohsin dari Iraq dilakukan di Rio 2016 iaitu 227kg.
Bonnie bagaimanapun tidak berjaya dalam percubaannya untuk mengatasi rekod dunianya sendiri iaitu 230kg dilakukan pada Piala Dunia Powerlifting Fazza Dubai ke-11 di Emiriah Arab Bersatu (UAE) Jun lepas, apabila gagal dalam percubaan keempat dengan angkatan 231kg.
Ketika ditemui pemberita, Bonnie memaklumkan mahu mendedikasikan pingat emas dimenanginya kepada ayah, Gustin Jenang dan jurulatih, Jamil Adam yang banyak memainkan peranan dalam mencorak perjalanan kariernya sebagai seorang atlet.
Lebih menarik, katanya, pingat emas dimenanginya hari ini merupakan hadiah terbaik kepada Jamil yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-52 semalam.
ARTIKEL BERKAITAN: Paralimpik Tokyo: Malaysia raih pingat emas pertama
Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Paralimpik Tokyo, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin pula percaya pencapaian hebat dilakar Bonnie mampu menaikkan semangat atlet lain untuk cuba merealisasikan sasaran tiga emas yang diletakkan kepada mereka sebelum ini.
Tatkala Bonnie meraikan kejayaannya, skrip berbeza dialami tiga wakil negara yang tersingkir dalam acara masing-masing.
Trio pecut berpasukan campuran lelaki negara C1-5 (kecacatan fizikal) dalam sukan berbasikal trek terlepas peluang merebut slot menjadi empat pasukan terbaik untuk mara ke peringkat penentuan pingat apabila menamatkan perlumbaan di tangga kelima.
Bagaimanapun, pasukan dibarisi Zuhairie Ahmad Tarmizi, Muhammad Hafiz Jamali dan Mohamad Yusof Hafizi Shahruddin tetap mencapai keputusan membanggakan apabila berjaya memadam rekod lama peribadi skuad negara iaitu 51.827 saat (s) dilakukan di Milton, Kanada pada tahun lepas dengan memperbaiki catatan dengan 50.532s.
Pencapaian diraih hari ini setidak-tidaknya mampu memberi tonik berharga bagi mereka yang akan menyertai acara berbasikal lebuh raya di Fuji International Speedway bermula 31 Ogos-4 September.
Dalam pada itu, cabaran pemanah kebangsaan, Wiro Julin dalam acara compound lelaki terbuka berakhir selepas terkandas di pusingan penyingkiran 1/16 hari ini.
Wiro yang membuat kemunculan pertama di pentas Paralimpik tumpas kepada atlet dari Jawatankuasa Paralimpik Rusia Bair Shigaev 126-136.
Saingan di Ariake Tennis Park pula menyaksikan pemain tenis kerusi roda, Abu Samah Borhan tidak berupaya mengekalkan momentumnya pada aksi semalam selepas ditunjuk jalan keluar oleh pemain pilihan kelapan, Tom Egberink dari Belanda dalam pusingan kedua.
Abu Samah dilihat tidak berjaya memberi saingan kepada pemain kelapan terbaik dunia itu yang hanya mengambil masa 46 minit untuk mengecewakannya, 6-0, 6-1.
Wakil tunggal negara dalam sukan boccia, Chew Wei Lun pula membuka kempen pertamanya di pentas Paralimpik dengan jayanya apabila merekod kemenangan sulung kelayakan kumpulan B di Ariake Gymnastics Centre.
Wei Lun yang bertanding dalam acara individu bercampuran BC1 (kecacatan fizikal) menumpaskan atlet Brazil, Andreza Vitoria de Oliveira 5-2. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!