City tambah derita Arsenal
ARSENAL terus dirundung malang apabila masih gagal meraih sebarang mata dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas tewas 0-5 kepada Manchester City di Etihad sebentar tadi.
Selepas tewas dalam dua aksi awal EPL - masing-masing kepada Brenford dan Chelsea, Arsenal dilihat mula mendapat rentak apabila membenam West Bromwich 6-0 pada pusingan kedua Piala Liga awal minggu ini.
Bagaimanapun, kemenangan besar itu seolah-olah masih belum mampu membakar semangat The Gunners dalam mengharungi saingan EPL musim ini.
Sebaliknya, City terus mempamerkan karakter 'sang juara' apabila mudah mendominasi lawan mereka itu sepanjang perlawanan berlangsung.
Dalam tempoh 12 minit pertama perlawanan, City memperoleh dua gol hasil jaringan Ilkay Gundogan seawal minit ketujuh disusuli jaringan Ferran Torres.
Tiga minit sebelum aksi babak pertama berakhir, City terus menambah derita Arsenal apabila Gabriel Jesus meledak gol ketiga The Citizens di hadapan ribuan penyokong mereka.
Sebaik babak kedua bersambung, City terus 'menekan' Arsenal sehingga membolehkan Rodri menyumbat gol keempat tuan rumah pada minit ke-53.
Torres menjaringkan gol kedua peribadinya pada minit ke-84, sekali gus mengesahkan kemenangan bergaya City di laman sendiri.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!