Sosok ibu sastera Melayu

Gambar dari kiri: Zaharah Nawawi, Abdul Rashid Ngah, Usman Awang
Gambar dari kiri: Zaharah Nawawi, Abdul Rashid Ngah, Usman Awang
A
A
A

MENURUT seorang penyair Mesir, iaitu Hafiz Ibrahim, “jika kamu persiapkan seorang ibu yang baik, bererti mempersiapkan suatu bangsa yang baik pada masa depan.”

Bertitik tolak daripada kenyataan ini jelas menunjukkan bahawa ibu merupakan sosok yang sangat besar peranannya dalam diri manusia. Malahan keperibadian ibu sangat bermakna sejajar dengan ungkapan seorang ulama bahawa “seorang ibu adalah madrasah, iaitu sekolah pertama bagi anaknya, jika engkau menyiapkannya nescaya sekolah tersebut akan bercabang dengan penuh kebaikan dan kemuliaan.”

Justeru, dalam al-Quran turut menyerlahkan beberapa ayat yang memperkatakan tentang peranan dan keperibadian ibu. Hal ini dibuktikan menerusi beberapa perkataan yang digunakan dalam al-Quran untuk mewakili sosok ibu, iaitu “al-umm”, “al-walida”, “walidani”, dan “abawani.”

Beberapa surah dalam al-Quran juga menggagaskan martabat ibu yang harus diberikan perhatian oleh anak-anak. Misalnya surah Luqman ayat 14, iaitu: “Dan kami perintahkan kepada manusia (agar berbuat baik) kepada kedua-dua orang tuanya. Ibunya telah mengandungkannya dengan keadaan lemah yang bertambah-tambah dan tempoh menceraikan susunya adalah dalam usia dua tahun. Bersyukurlah kepada-KU dan kepada kedua-dua orang tuamu. Hanya kepada Akulah kamu kembali.”

Quraish Shihab pula berpendapat perkataan “al-umm” yang bererti ibu merupakan kata yang sama dibentuk untuk perkataan imam (pemimpin) dan umat. “Umm” atau “ibu” melalui perhatian serta keteladanan yang diberikan kepada anaknya dapat menciptakan pemimpin, bahkan dapat membina umat.

Berdasarkan beberapa perkataan tersebut jelas menunjukkan bahawa al-Quran tidak hanya menuntut para ibu dalam mendidik anak-anak bahkan perlu memberikan teladan menerusi kisah-kisah ibu mulia yang terakam dalam sejarah yang diabadikan dalam al-Quran. Melalui kisah-kisah tersebut, para ibu dapat mengambil ibrah atau pelajaran agar mampu mendidik anak-anaknya pula.

Berbakti

Seterusnya, diriwayatkan oleh Abu Hurairah, seseorang datang kepada Rasulullah SAW dan berkata: “Wahai Rasulullah, kepada siapakah aku harus berbakti pertama kali?” Nabi menjawab, “Ibumu!” Dan orang tersebut kembali bertanya, “Kemudian siapa lagi?” Nabi menjawab, “Ibumu!” Orang tersebut bertanya kembali, “Kemudian siapa lagi?” Beliau menjawab, “Ibumu”. Orang tersebut bertanya kembali, “Kemudian siapa lagi,” Nabi menjawab, “Kemudian ayahmu.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Artikel Berkaitan:

Begitu halnya dalam karya sastera Melayu. Perkembangan kesusasteraan Melayu tanah air menyaksikan watak wanita yang bergelar “ibu”, “mama”, “ummi”, “bonda”, dan “nenek” diangkat menjadi watak utama sama ada dalam novel atau cerpen. Hal ini diperhati sebagai suatu usaha dan upaya para pengarang menghargai orang istimewa dalam hirearki sesebuah keluarga.

Antara novel yang mengemukakan watak-watak tersebut sebagai judul novel adalah Ibu (Abdul Rashid Ngah), Air Mata Ibu (Soo Chan), Kasihnya Ibu (Nurliza Mohd. Nasir), Diari Bonda (Anie Din) dan Mama (Abdul Rahim Awang) dan Nenek (Razali Endun).

Dalam cerpen pula adalah Banjir di Mata Emak (Che Soo Ismail), Komputer Baru Untuk Mama (Zaharah Nawawi), Ibu dan Ceper (Shahnon Ahmad), Mama (Mahaya Md. Yassin), Emak (Uthaya Sankar SB), dan lain-lain.

Barisan judul novel ini menunjukkan bahawa orang tua, yang bernama “ibu” sangat signifikan dalam kehidupan dan ia digambarkan dalam pengkaryaan untuk dihidangkan kepada khalayak pembaca dengan tujuan yang bermakna.

Watak ibu yang digemblengkan pengarang sama ada dalam novel atau cerpen jelas menampilkan wanita yang cekal berdepan dengan sebarang cabaran kehidupan.

Misal sahaja dalam novel Ibu karya Abdul Rashid Ngah mengemukakan kecekalan Mak Nah dalam mengasuh dua anak lelaki yang terjebak dengan masalah sosial. Ibu yang dipotretkan dalam novel ini bersungguh-sungguh berjuang membentuk keperibadian anaknya walaupun berdepan dengan segunung dugaan yang bukan kepalang.

Keupayaan Mak Nah tercabar lantaran dirinya hanya seorang suri rumah tangga dan tidak mempunyai kerjaya, malahan suaminya pula seorang nelayan yang diuji dengan pelbagai penyakit, namun ketekalannya sebagai seorang “ibu” patut disanjung tinggi.

Penyerahan dirinya kepada Allah Ya Mutakabbir yang menguasai seluruh alam semesta menjadi pakaian peribadi wanita ini. Novel ini menyuguh kesungguhan Mak Nah sebagai seorang wanita, isteri dan ibu yang gigih dan menjadikan ibadah solat, zikir dan qiyamulail sebagai sandaran kekuatan apabila dirundung kesedihan. Watak ini boleh dijadikan teladan untuk para ibu yang terpaksa berhadapan dengan pelbagai kemelut kehidupan sekarang.

Pemerihalan kesabaran seorang ibu dalam karya sastera Melayu sesungguhnya merupakan medan terbaik untuk para pengarang menghantar perutusan kepada khalayak pembaca. Lantaran keperibadian ibu sebagai wanita yang sarat jasa dan pengorbanan tidak pernah padam dalam hayat manusia.

Sajak Sasterawan Negara, Usman Awang misalnya boleh dijadikan pedoman, perhatikan bait Ke Makam Bonda yang meruntun perasaan.

Kami mengunjungi pusara bonda

Sunyi pagi disinari suria

Wangi berseri puspa kemboja

Menyambut kami mewakili bonda

Tegak kami di makam sepi

Lalang-lalang tinggi berdiri

Dua nisan terkapar mati

Hanya papan dimakan bumi

Dalam kenangan kami melihat

Mesra kasih bonda menatap

Sedang lena dalam rahap

Dua tangan kaku berdakap

Bibir bonda bersih lesu

Pernah dulu mengucupi dahiku

Kini kurasakan kasihnya lagi

Meski jauh dibatasi bumi

Nisan batu kami tegakkan

Tiada lagi lalang memanjang

Ada doa kami pohonkan

Air mawar kami siramkan

Senyum kemboja menghantar kami

Meninggalkan makam sepi sendiri

Damailah bonda dalam pengabadian

Insan kerdil mengadap Tuhan

Begitu bakti kami berikan

Tiada sama bonda melahirkan

Kasih bonda tiada sempadan

Kemuncak murni kemuliaan insan.

Betapa sosok seorang ibu amat bercahaya buat menyuluh jalan manusia di alam buana. Begitu bermakna sosok ibu dalam karya sastera Melayu, semoga kita memperoleh sekarung iktibar. Malah cinta terhadap ibu makin bersinar!

*Profesor Madya Dr. Kamariah Kamarudin ialah Penyelaras Seni Persembahan, Jabatan Bahasa Melayu, Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!