PN Perak nafi ada Exco sabotaj
IPOH - Perikatan Nasional (PN) Perak menafikan terdapat Exco kerajaan negeri dalam kalangan gabungan itu yang mahu mensabotaj kerajaan negeri seperti didakwa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad.
Setiausaha PN Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, dakwaan exco PN mensabotaj usaha kerajaan negeri menangani Covid-19 di Perak langsung tidak berasas kerana setiap minggu taklimat diberikan kepada semua Exco berkaitan pandemik tersebut.
Menurutnya, segala urusan berkaitan Covid-19 dikendalikan terus oleh Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad dan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim.
"Tidak berlaku dakwaan kata Exco PN sabotaj. Sabotaj itu seperti tindakan 15 Ahli Parlimen UMNO kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin tapi PN Perak tidak buat seperti itu.
"Sebenarnya dia (Muhamad Arafat) yang sabotaj usaha kerajaan untuk galakkan rakyat ambil vaksin. Sebagai ADUN dia telah menunjukkan contoh yang tak sesuai dengan usaha kerajaan tangani pandemik Covid-19," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.
Sementara itu, Zainol Fadzi berkata, semua Exco kerajaan negeri tidak digalakkan hadir beramai-ramai dalam program di dalam tempoh pandemik.
Katanya, adalah tidak sesuai untuk sentiasa mengiringi menteri besar pada setiap program turun padang.
"Saya sendiri buat banyak program outreach pemberian vaksin di kawasan. Ini pun membantu menteri besar dan kerajaan negeri menangani pandemik Covid-19.
"Pada saya Arafat ni tak ada modal sebab tak dapat hadir persidangan Dewan Negeri sebab Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) beri SOP yang sudah vaksin sahaja boleh hadir," katanya.
Pada Sabtu, Muhamad Arafat yang juga Ketua Penerangan Parti Keadilan (PKR) dalam satu kenyataan media mendedahkan terdapat seorang Exco kerajaan negeri daripada PN yang didakwa cuba mensabotaj kerajaan negeri dalam usaha menangani Covid-19.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!