PGA ambil alih aset Aksem di Kelantan mulai 1 Oktober
KOTA BHARU - Kesemua aset termasuk kenderaan dan bangunan milik Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) di Kelantan bakal diambil alih oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) mulai 1 Oktober ini susulan pembubaran agensi itu oleh kerajaan, baru-baru ini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Hasan Basri Ahmad Safar berkata, susulan itu 101 anggota polis yang berkhidmat di dalam agensi berkenaan di negeri ini juga akan diserapkan ke dalam PGA.
Beliau berkata, dengan pembubaran itu juga pejabat Aksem di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga, Pengkalan Kubor serta Rantau Panjang akan diserahkan kepada PGA.
"Setakat ini anggota polis di dalam Aksem akan diserapkan ke dalam satu kompeni Batalion Ke-8 PGA yang berpangkalan di Pengkalan Chepa, di sini.
“Kita berharap segala proses akan berjalan dengan sempurna bagi melancarkan dan memperkasa penugasan anggota di sempadan Malaysia-Thailand," katanya ketika ditemui di Kem Batalion Ke-8 PGA Pengkalan Chepa pada Ahad.
Hasan Basri berkata, penugasan Aksem di tiga sekatan jalan raya (SJR) membabitkan Lalang Pepuyu di Tanah Merah, Neting di Pengkalan Kubor serta Chabang Empat Salam di Rantau Panjang juga akan diambil alih oleh PGA.
Pada Jun lepas, kerajaan mengumumkan Aksem yang ditubuhkan pada Disember 2017 dibubarkan manakala tugas agensi tersebut diambil alih sepenuhnya oleh Polis Diraja Malaysia.
Dengan pembubaran itu, PGA akan meneruskan semua fungsi Aksem di sempadan negara menggunakan peruntukan undang-undang sedia ada. - Bernama
ARTIKEL BERKAITAN: Aksem dibubarkan, tugas diambil alih PDRM: Hamzah
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!