PRU15: Kembalikan kuasa politik di tangan pemimpin berwibawa
SHAH ALAM - Rakyat mesti mencipta sejarah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) dengan meletakkan kembali kuasa politik Melayu dan Islam di tangan pemimpin berwibawa yang mempunyai agenda membangunkan watan tercinta.
Presiden Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Zamani Ibrahim berkata, pemimpin-pemimpin politik lama yang tamak kuasa, kering idea untuk membangun negara, berebut kuasa hanya untuk menjadi kaya-raya mesti direhatkan dari arena politik negara.
Menurutnya, sebagai sebuah negara merdeka, ahli-ahli politik berjiwa merdeka, berwatak negarawan, berwibawa dan yang berintegriti tinggi mesti diangkat sebagai pemimpin untuk membina semula negara yang dicintai.
"Marilah kita mensyukuri nikmat kemerdekaan negara ke-64 kerana perjuangan untuk mencapai kemerdekaan sudah pasti menjadi lipatan sejarah dan menjadi rujukan generasi-generasi yang akan datang.
"Namun, tidak cukup hanya sekadar melaungkan slogan merdeka tetapi tanah rizab Melayu yang sudah hilang, masih tidak diganti mengikut keluasan yang sudah hilang itu.
"Tanah adalah kuasa dan ukuran kekuatan sesuatu bangsa maka, tidak hairan jika bangsa-bangsa asing yang datang ke Tanah Melayu dan kemudian diberikan taraf warganegara, begitu bersungguh-sungguh untuk memiliki tanah hak milik kekal dan tanah pajakan selama 999 tahun," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Dalam pada itu, beliau berkata, kibaran Jalur Gemilang juga tidak cukup jika ahli-ahli politik muka lama terus rakus dan tamak kuasa serta kering idea dalam membangunkan agenda bangsa.
"Sambutan ulang tahun kemerdekaan juga belum cukup jika neraca benar atau salah, korupsi atau integriti dikira mengikut neraca pihak yang memerintah.
"Kes mahkamah yang bertimbun-timbun melibatkan puluhan atau ratusan juta ringgit dan adakah mereka akan dihukum sekiranya berada di pihak pembangkang, namun disucikan jika bertukar menjadi kerajaan," soalnya.
Beliau berkata, apa maknanya sebuah kemerdekaan jika rakyat diperbodohkan oleh pemimpin parti yang rakus dan tamak kuasa dan rakyat dididik dengan sikap suka meminta-minta.
"Inikah negara merdeka? Inikah sahaja yang kita mampu lakukan untuk mengisi kemerdekaan? Kita mesti merasa takut dan bimbang," katanya lagi.
Beliau berkata, rakyat sudah boleh membuat andaian bahawa masa depan kuasa politik Melayu dan Islam adalah sebagai kuasa politik penumpang dan diperkudakan berdasarkan permainan kuasa politik pada masa kini.
"Sekarang kita tanya diri kita, adakah kita benar benar merdeka? Jika benar, kita sudah tidak ada masa dan mesti berani untuk melangkah dan membuat keputusan memilih ahli-ahli politik yang mampu mengangkat Malaysia menjadi sebuah watan berdaulat yang disegani dunia (pada PRU15)," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!