Semangat kemerdekaan orang asli tidak luntur
BALING - Semangat kemerdekaan bagi masyarakat orang asli suku kensui Lubuk Legong, di sini tidak pernah luntur biarpun negara berdepan wabak Covid-19.
Tok Batin Kampung Orang Asli Lubuk Legong, Razali Kulim berkata, pihaknya mengambil peluang sempena bulan kemerdekaan untuk memupuk semangat patriotik dalam diri penduduk termasuk anak-anak dengan menggalakkan mereka mengibarkan Jalur Gemilang.
Menurutnya, inisiatif itu bertujuan memupuk semangat cinta dan sayangkan negara walaupun dalam kekalutan menangani wabak Covid-19.
"Kita tak ketinggalan untuk sama-sama rasa tanggungjawab agar setiap rakyat termasuk anak kecil turut merasai semangat kemerdekaan," katanya ketika ditemui pada Sabtu.
Dalam masa sama, beliau berharap agar Malaysia turut bebas daripada Covid-19 kerana ingin meneruskan kehidupan normal seperti sebelum ini.
Sementara itu, penduduk, Sudirman Biak, 34, berkata, semangat kemerdekaan telah sebati dalam diri setelah dipupuk sejak zaman datuk nenek terdahulu.
"Dulu mereka bercerita tentang merdeka, sekarang kita pula cerita pada anak cucu tentang merdeka.
"Kita juga nak semangat kemerdekaan diterapkan dalam kalangan anak-anak agar mereka tahu apa itu merdeka, macam tok nenek kita cerita dulu," katanya.
Seorang lagi penduduk, Nayan Dahan, 40, berkata, dalam keadaan pandemik Covid-19 melanda seluruh negara, mereka tidak dapat bergerak namun boleh menzahirkan rasa cintakan negara dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan mengajak anak-anak melakukan perkara sama.
"Harapan saya agar Covid-19 segera berakhir dan kita bukan sahaja boleh meraikan merdeka malah boleh merdeka daripada penyakit itu," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!