Kerani dirogol, dibunuh! Mayat disorok bawah katil
Mangsa yang bekerja sebagai kerani di sebuah kilang perabot di Sungai Bakap dikatakan tinggal seorang diri di rumah berkenaan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Selatan, Superintendan Lee Chong Chern berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang berusia 40 tahun itu dirogol dan diliwat sebelum dibunuh oleh seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya.
Menurut Chong Chern, kejadian itu disedari rakan mangsa yang datang ke rumahnya pada jam 3 petang kerana mempunyai janji temu dengan mangsa.
"Ketika rakan mangsa berada di hadapan rumahnya, dia ternampak seorang lelaki keluar dari rumah mangsa dengan menaiki motosikal. Rakannya itu kemudian menghubungi kakak mangsa bagi memaklumkan perkara itu.
"Kakak mangsa telah menghubungi rakannya untuk memeriksa rumah adiknya. Ketika pemeriksaan dibuat, pintu rumah didapati terbuka sedikit, lalu rakan kakak mangsa menghubungi polis untuk pemeriksaan lanjut," katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Katanya, rumah mangsa didapati dalam keadaan berselerak semasa polis melakukan pemeriksaan.
"Mangsa ditemui dalam keadaan terbaring di bawah katil bilik bawah di rumah dua tingkat yang didiaminya.
"Menurut salah seorang jiran mangsa, dia juga ternampak seorang lelaki telah keluar dari rumah mangsa yang menaiki motosikal jenis SYM pada petang hari kejadian," katanya.
Chong Chern berkata, susulan daripada itu, polis menahan suspek berusia 29 tahun yang tinggal di taman perumahan yang sama untuk siasatan lanjut.
"Siasatan awal mendapati, suspek telah mengambil syabu sebelum meminjam motosikal rakannya untuk pergi bersiar-siar. Dia kemudiannya memberhentikan motosikalnya di lorong belakang rumah mangsa sebelum memanjat tembok pagar belakang.
"Suspek telah membuka cermin tingkap lalu masuk ke dalam rumah melalui tingkap tersebut. Suspek ke bilik tidur bahagian bawah dan ternampak mangsa sedang tidur di atas katil dengan hanya memakai seluar tanpa baju," katanya.
Jelasnya, suspek telah merogol dan meliwat mangsa. Suspek mengaku telah menyumbat seluar dalam ke mulut mangsa kerana mangsa melawan dan menjerit.
"Berang kerana mangsa masih melawan dan menjerit, suspek telah menutup mulut mangsa dengan menggunakan tangannya. Bagaimanapun, mangsa dipercayai meninggal dunia kerana lemas (tidak boleh bernafas).
"Meskipun suspek menyedari mangsa telah meninggal dunia tetapi suspek tetap merogol dan meliwatnya beberapa kali sebelum menyembunyikan mayat mangsa di bawah katil," katanya.
Suspek ujar beliau, turut menggeledah rumah mangsa dan mengambil sebuah telefon bimbit, wang tunai dan loket milik mangsa.
"Selepas melakukan jenayah tersebut, suspek menyerah kembali motosikal rakannya dan pulang ke rumahnya dengan berjalan kaki.
"Suspek ditahan di Changkat Sungai Jawi ketika sedang bersembunyi daripada ditahan polis. Dia turut membuang semua barang milik mangsa ke dalam sebuah sungai di lokasi berkenaan," katanya.
Beliau berkata, suspek mempunyai lima rekod lampau melibatkan dadah dan beberapa jenayah lain.
"Polis merampas beberapa barangan antaranya motosikal, baju dan seluar, manakala suspek direman untuk siasatan lanjut.
"Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk dibedah siasat selepas keputusan ujian saringan Covid-19 diperolehi," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!