Pemergian Lajim Ukin kehilangan besar kepada Sabah
KOTA KINABALU - Negara kehilangan seorang tokoh politik berwibawa berikutan pemergian Datuk Seri Lajim Ukin yang banyak menabur jasa dan bakti kepada pembangunan negeri Sabah sepanjang memegang pelbagai portfolio penting di peringkat negeri dan persekutuan.
Lajim, 66, bukanlah seorang yang asing dalam pentadbiran kerajaan negeri kerana sepanjang lebih 38 tahun berkecimpung dalam bidang politik beliau pernah menggalas tanggungjawab sebagai Timbalan Ketua Menteri Sabah di bawah pentadbiran tiga kepimpinan negeri.
Allahyarham memegang jawatan nombor dua negeri di bawah kepimpinan Datuk Seri Osu Sukam pada tahun 1999, Tan Sri Chong Kah Kiat (2001) dan Tan Sri Musa Aman (2003).
Bekas Ahli Parlimen Beaufort yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu meninggal dunia akibat Covid-19 di Hospital KPJ di sini pada jam 6.23 pagi Ahad.
Ketika berkhidmat sebagai Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Sabah, beliau memainkan peranan penting dalam membangunkan Sabah terutama dalam bidang kebudayaan, sukan, perumahan, kerajaan tempatan dan sektor pertanian.
Lajim selaku Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) banyak membantu usahawan di negara ini antara lain melanjutkan moratorium bayaran pinjaman selain menyalurkan pinjaman kepada golongan berpendapatan rendah B40.
Anak jati Kampung Kebatu, Beaufort yang dilahirkan pada 15 Jun 1955 itu pernah berkhidmat untuk negeri Sabah sebagai Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Menteri Pertanian dan Perikanan dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah.
Pada peringkat Persekutuan, beliau memegang jawatan sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan dari Mac 2008 hingga April 2009 dan Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dari April 2009 hingga Julai 2012.
Allahyarham menjadi Ahli Parlimen Beaufort selama sepenggal selepas menang dalam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU12) pada tahun 2008, selain Ahli Dewan Undangan (DUN) Klias selama enam penggal antara tahun 1986 hingga 2013.
Memulakan kerjaya dalam bidang politik selepas menyertai Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pada tahun 70-an sebelum menyertai parti Berjaya dan dilantik sebagai Ketua Pemuda Berjaya Bahagian Klias.
Pada tahun 1983, Lajim menyertai Parti Bersatu Sabah (PBS) dan dilantik sebagai Naib Presiden pada tahun 1989 sebelum menyertai UMNO (1994), seterusnya dilantik sebagai Ketua UMNO Bahagian Beaufort.
Beliau menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada tahun 2016 dan kemudian menyertai Bersatu sebelum dilantik sebagai Ahli MPT Bersatu untuk penggal 2019 hingga 2022. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!