Pemuda UMNO cadang tubuh jawatankuasa khas bantuan bencana

Asyraf Wajdi (kanan) dan Sham (kiri) bertemu salah seorang mangsa banjir selepas meninjau kediaman mangsa banjir di Kampung Tersusun Batu 6 1/2,Matang Pasir, Alor Pongsu, di sini pada Ahad.
Asyraf Wajdi (kanan) dan Sham (kiri) bertemu salah seorang mangsa banjir selepas meninjau kediaman mangsa banjir di Kampung Tersusun Batu 6 1/2,Matang Pasir, Alor Pongsu, di sini pada Ahad.
A
A
A

BAGAN SERAI - Pemuda UMNO mencadangkan kepada kerajaan supaya satu majlis atau jawatankuasa khas dibentuk bagi menyelaras bantuan bencana daripada semua pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, berdasarkan pengalaman menguruskan bencana di Kelantan pada 2015, bantuan yang dihantar mencurah-curah sehingga menyebabkan ada rumah yang menerima beras sehingga enam kampit.

Kata beliau, jika bantuan tersebut diselaraskan, mangsa bencana dapat menerima barangan yang diperlukan sahaja serta pengagihan barangan keperluan dapat diberikan secara sekata.

"Jadi saya menyarankan kerajaan mewujudkan majlis yang menghimpunkan NGO-NGO yang biasa terlibat dalam program misi bantuan ini yang saya rasa bukan tujuan kerajaan untuk nak 'dictate', tetapi sekurang-kurangnya kita boleh salurkan maklumat dengan lebih berkesan supaya bantuan-bantuan itu sampai kepada pihak yang berkenaan dengan lebih efektif.

"Parkara ini penting kerana saya sendiri terlibat sewaktu musibah di Kelantan dahulu kebanyakan berlaku masalah komunikasi dan pengagihan tidak sekata, jadi saya rasa mungkin kerajaan boleh mewujudkan satu persefahaman di antara pihak-pihak berkaitan terlibat," katanya kepada pemberita selepas meninjau kediaman mangsa banjir di Kampung Tersusun Batu 6 1/2,Matang Pasir, Alor Pongsu, di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan ADUN Selinsing, Mohammad Nor Dawoo.

Asyraf Wajdi berkata, kewujudan majlis atau jawatankuasa untuk menyelaras bantuan bencana itu mungkin boleh diletakkan di bawah Jabatan Perdana Menteri manakala di peringkat negeri diuruskan oleh kerajaan negeri itu sendiri.

Menurutnya, apabila wujud kerjasama strategik di antara kerajaan, NGO, sukarelawan politik dan sebagainya, ia boleh membantu rakyat mendapatkan bantuan yang dikehendaki.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu mengenai misi bantuan pasca banjir di Alor Pongsu, beliau berkata, program tersebut merupakan fasa kedua dilaksanakan selepas fasa pertama dilakukan di Yan, Kedah.

Menurutnya, misi bantuan tersebut melibatkan Skuad Sabil dan Pemuda UMNO yang menyumbang tenaga membersihkan rumah mangsa banjir selain memberikan bantuan keperluan makanan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!