SUBPLACE bantu peniaga IKS perkukuh perniagaan
[DIKEMAS KINI] Platform langganan gaya hidup, SUBPLACE menawarkan pelbagai kelebihan kepada peniaga khususnya Industri Kecil dan Sederhana (IKS) berikutan pandemik Covid-19 melanda negara.
Ketua Pegawai Eksekutif SUBPLACE, Mak Wai Hoong berkata, antara kelebihan tersebut ialah membantu peniaga IKS mengubah cara perniagaan mereka kepada model perniagaan langganan berskala dan sewaan.
“Kewujudan SUBPLACE ini bertujuan untuk membantu peniaga IKS melaksanakan digital transformasi terutama dari segi model perniagaan.
"Kami akan mengajar mereka cara-cara untuk menjalankan model langganan dan sewa supaya mereka boleh menjalin hubungan baik jangka panjang dengan pelanggan," katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.
Semua produk dan perkhidmatan di SUBPLACE juga ditawarkan secara langganan dan pengguna hanya perlu mendaftar sekali sahaja untuk menerima produk dan perkhidmatan mereka secara berkala.
Mengulas lanjut Wai Hoong berkata, setakat ini lebih 200 IKS telah menyertai SUBPLACE, dan masing-masing mendapatkan pengecualian bayaran pendaftaran berjumlah RM1,000 hasil daripada kerjasama SUBPLACE dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC).
“Pengecualian bayaran ini termasuk latihan tahunan, sokongan teknikal, serta penyelenggaraan bulanan dan dua peratus diskaun ke atas yuran transaksi,” katanya.
Sehubungan itu, Wai Hoong berharap agar SUBPLACE bukan sahaja menjadi platform langganan pertama di Asia, tetapi turut menjadi platform langganan terbesar di seluruh negara.
”Sebelum ini, SUBPLACE berjaya mengumpul dana sebanyak RM10 juta menerusi STAR Produk sekali gus memecahkan rekod pertama di Malaysia.
”Untuk tempoh lima tahun akan datang, kita juga merancang untuk membuka 250 Brand Store di seluruh Malaysia selain menarik lebih 100,000 pelanggan baru,” ujarnya.
Untuk maklumat lanjut mengenai SUBPLACE, sila lawati www.subplace.com atau muat turun aplikasi SUBPLACE.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!