Sambutan Hari Kebangsaan tetap dijayakan sebaik mungkin: Annuar

Annuar (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek (kiri) meninjau raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada Ahad. - Foto Bernama
Annuar (tengah) bersama Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Multimedia Malaysia (KKMM), Datuk Seri Mohammad Mentek (kiri) meninjau raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada Ahad. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Sambutan Hari Kebangsaan 2021 akan tetap dijayakan dengan sebaik mungkin walaupun dalam suasana negara masih berperang dengan pandemik Covid-19, kata Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata, segala persiapan perjalanan sambutan Hari Kebangsaan tahun ini telah dirancang sebaik mungkin, bagi memastikan ia mengikut garis panduan yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ahli Parlimen Ketereh itu berkata, sambutan pada tahun ini diadakan secara fizikal namun jumlah peserta dan tetamu, dihadkan seperti hanya 50 orang tetamu dibenarkan hadir tanpa sebarang penonton di lapangan.

“Dari segi persembahan juga dihadkan maksima 400 orang kesemua sekali. Tetapi persembahan secara bergilir-gilir supaya pada setiap satu masa jumlahnya tidak melebihi 100 orang melakukan persembahan, dan dapat mematuhi penjarakan fizikal,” katanya kepada pemberita pada Ahad selepas menyaksikan raptai penuh Sambutan Hari Kebangsaan 2021 di sini.

Annuar dinamakan sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia, dalam pengumuman pembentukan kabinet oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan akan mengangkat sumpah jawatan di Istana Negara, Kuala Lumpur pada Isnin.

“Saya berpuas hati dengan segala persiapan, terutama sekali dari segi susunan perjalanan sambutan Hari Kebangsaan yang berbeza dengan tahun lalu,” katanya serta menambah sambutan tahun ini boleh ditonton melalui kaca televisyen, dengan pelbagai input dan program yang telah disediakan.

Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat latihan sebelum persembahan kawad senyap pada raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada Ahad. - Foto Bernama
Anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) membuat latihan sebelum persembahan kawad senyap pada raptai penuh sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2021 di Dataran Pahlawan, Putrajaya pada Ahad. - Foto Bernama

Annuar turut berharap, agar keadaan cuaca pada hari kemuncak sambutan pada 31 Ogos ini (Selasa) adalah baik bagi membolehkan segala perancangan persembahan dilaksanakan sebaik mungkin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sekiranya keadaan cuaca tidak mengizinkan bagi pertunjukan udara (air show) dilakukan, 'Pelan B' sempena sambutan Hari Kebangsaan itu akan dilaksanakan dengan lebih ringkas, tanpa pertunjukan udara.

Annuar dalam pada itu menyeru setiap lapisan masyarakat, mendukung semangat Keluarga Malaysia sempena sambutan Hari Kebangsaan, serta mempamerkan kebersamaan dan keyakinan untuk menang memerangi pandemik Covid-19.

“Dengan satu keyakinan untuk menang bersama, kerana kita tahu segala rancangan terutamanya Pelan Pemulihan Negara yang sedang kita laksanakan ini, akan dapat kita sempurnakan dan akhirnya rakyat negara kita benar-benar dapat dimerdekakan daripada wabak yang merbahaya ini. Ini akan dilakukan secara muafakat, secara kerjasama dalam kalangan seluruh Keluarga Malaysia kita,” katanya.

Konsep Keluarga Malaysia, diperkenalkan oleh Ismail Sabri dalam ucapan sulungnya sebagai Perdana Menteri Kesembilan Malaysia, yang mengajak rakyat pelbagai agama, bangsa dan kaum, bersama-sama untuk memulihkan semula keadaan negara ini. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!