Perak FC akan terselamat?
PASUKAN Perak FC mungkin boleh terselamat daripada jatuh ke Liga Premier musim depan sekiranya Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menambah penyertaan dalam saingan Liga Super musim depan daripada 12 kepada 16 pasukan.
Kemungkinan itu disuarakan Menteri Belia dan Sukan yang baharu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu selepas memaklumkan ada melakukan perbincangan bersama Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Liga Bola sepak Malaysia (MFL) yang baharu, Stuart Ramalingam serta Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin mengenai perkara itu baru-baru ini.
Namun, beliau berkata, Kementerian Belia dan Sukan tidak mempunyai kuasa untuk menentukan perkara tersebut dan segalanya terpulang kepada MFL.
"Nombor satu, KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tak ada kuasa nak buat apa-apa, tapi itu terpulang kepada MFL, tapi kita kawan baik dengan MFL. Saya dengan CEO baru MFL Stuart ini pun kawan baik, dengan Datuk Hamidin pun saya boleh cakapkan.
"Baru-baru ini kita ada bincang Datuk Hamidin dan Stuart ada pandangan nak naikkan kepada 16 pasukan sebab ini selari dengan apa yang FIFA tetapkan. Selama ini kita tak ikut Fifa jadi sekarang ini mungkin dia orang terpaksa buat begitu.
"Kalau itu berlaku, selamat lah negeri Perak, kalau tak berlaku kita sakit kepala sikit lah sebab tak pernah berlaku lagi.
"Masalahnya, Perak FC II akan turun lagi jadi tak boleh berada dalam satu liga jadi itu masalahnya. Jadi kita doakanlah, InsyaALLAH saya akan cakap dengan Datuk Hamidin dan Stuart," katanya dalam satu video yang tular di media sosial ketika ini.
Perak FC ketika ini dalam bahaya dan menjadi antara pasukan yang mungkin jatuh pangkat ke saingan Liga Premier musim depan.
Skuad Seladang itu berada di kedudukan kedua tercorot Liga Super dengan 13 mata dengan baki dua perlawanan lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!