Masa untuk UMNO wujudkan kestabilan politik, pentadbiran telus

Mohamed Khaled
Mohamed Khaled
A
A
A

JOHOR BAHRU - UMNO berada pada landasan yang tepat dalam usahanya untuk memastikan wujudnya kestabilan politik, ketelusan pentadbiran dan perubahan yang besar kepada Keluarga Malaysia.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin bersetuju dan menyambut baik saranan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai beberapa perkara yang mesti diusahakan oleh kerajaan baharu.

Kata beliau, antaranya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat dakwaan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas terhadap campur tangan politik ke atas Pejabat Peguam Negara.

"Isu lain yang turut menjadi pertimbangan adalah penggubalan undang-undang antilompat parti, kerangka pendanaan politik yang sah dan telus, pemantapan institusi polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) serta mewujudkan Parlimen yang lebih bersih.

"Kesemua reform ini adalah kritikal. Ia bukan sahaja baik untuk negara, bahkan masyarakat dan amalan demokrasi di negara kita. Pada masa sama, ia membawa bersama beberapa pengertian yang lebih penting," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Semua pembaharuan itu jelas beliau, penting kerana pertama, tindakan itu membuktikan UMNO adalah parti yang serius untuk membawa kebaikan dan sentiasa terbuka dalam memantapkan tadbir urus negara.

"Kedua, ia akan membantu memulihkan imej dan persepsi umum kepada UMNO khususnya dalam menzahirkan keupayaan dan fokus sekali gus menjadikan Malaysia negara yang lebih baik," katanya.

Menurutnya, segala reform itu akan dapat memisahkan UMNO daripada Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) yang sebelum ini dilihat sekadar menabur janji manis sedangkan gagal melaksanakan segala penambahbaikan yang dijanjikan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Sesungguhnya, UMNO percaya dan yakin pentadbiran negara di bawah kemudi Perdana Menteri UMNO akan membawa perubahan dan kebaikan yang kita semua harapkan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Tiada lagi nama kerajaan PN tetapi kerajaan Malaysia'

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!