Kes di Sarawak naik 224 peratus bulan ini

Gambar hiasan - Foto Bernama
Gambar hiasan - Foto Bernama
A
A
A

KUCHING - Kes jangkitan Covid-19 di Sarawak naik mendadak bulan ini dengan 35,517 kes baharu iaitu peningkatan 224 peratus berbanding tempoh sama pada Julai.

Pengarah Kesihatan Sarawak, Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, kehadiran varian Delta yang mempunyai kebolehjangkitan tinggi menjadikan ia faktor utama kes tinggi di Sarawak khususnya di Zon Selatan yang merangkumi daerah Kuching, Bau, Lundu, Samarahan, Asajaya, Simunjan, Serian dan Tebedu.

“Setakat ini, varian Delta telah dikesan di 10 bahagian di Sarawak manakala kadar pengesanan varian Delta setinggi 99 peratus telah dilaporkan di Bahagian Kuching,” menurutnya dalam kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, walaupun kadar imunisasi Covid-19 di Sarawak telah mencapai 90.9 peratus bagi dos pertama dan 87.9 peratus bagi dos kedua setakat 28 Ogos namun kira-kira 30 peratus daripada kes harian merupakan golongan bawah 18 tahun yang masih belum layak menerima vaksin.

“Kadar penggunaan katil bagi kes rawatan kritikal di seluruh Sarawak menunjukkan peningkatan pada bulan ini tetapi ia masih pada tahap pihak hospital masih berupaya menguruskannya,” katanya.

Dr Mohamed Sapian turut memaklumkan sebanyak enam Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Awam dijangka beroperasi semula manakala empat PKRC Awam yang baharu akan memulakan operasi sekiranya kes semakin meningkat.

“Sekiranya kes masih banyak dan meningkat setiap hari, penggunaan sumber tenaga dan perkhidmatan kesihatan mungkin akan lumpuh.

“Ini akan mengakibatkan tindakan-tindakan intervensi seperti pengasingan pesakit dan pengesanan kontak akan terjejas teruk,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ketika ini, sebanyak 45 PKRC dibuka di seluruh Sarawak iaitu 41 PKRC Awam berkapasiti 7,465 katil dan empat PKRC Tahanan berkapasiti 1,072 katil. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!