Kabinet Ismail Sabri perlu bekerja lebih baik

Ismail Sabri Yaakob (kanan) mengumumkan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat. - Foto Bernama
Ismail Sabri Yaakob (kanan) mengumumkan senarai anggota Jemaah Kabinet baharu di Bangunan Perdana Putra pada Jumaat. - Foto Bernama
A
A
A

HARI ini kesemua barisan kabinet yang dilantik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengangkat sumpah di Istana Negara. Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia serta Sumpah Simpan Rahsia di hadapan Seri Paduka pada 2.30 petang hari ini.

Ismail Sabri dalam perutusan ‘Pembentukan Kabinet’ Jumaat lalu berkata, barisan jemaah menteri tersebut dipilih daripada kombinasi mereka yang berpengalaman serta diyakini mampu membantu negara memulihkan ekonomi.

Menurut beliau, kabinet baharu itu juga perlu berorientasikan hasil berlandaskan tiga prinsip iaitu peka dengan keperluan semasa; bertanggungjawab dan beramanah serta mengembalikan semula keyakinan rakyat.

Banyak pihak mempertikai keputusan Ismail Sabri mengekalkan hampir kesemua barisan kabinet pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin, walaupun beliau mempunyai peluang untuk membina pasukan baharu yang lebih meyakinkan.

Walaupun kali ini, UMNO lebih ramai berbanding Bersatu, namun pemimpin yang lama masih dikekalkan termasuk beberapa menteri yang sering dilabelkan gagal oleh netizen di media sosial.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan kabinet baharu yang dibentuk Ismail Sabri hanyalah kitar semula dan tidak membawa perubahan yang diharapkan rakyat. Anwar mendakwa ia tidak mampu untuk menyuntik semangat baharu dan memberi keyakinan kepada pelabur dari dalam atau luar negara.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman turut menggelarkan kabinet Ismail Sabri sebagai ‘Kabinet Gagal 2.0’ dan menganggap Perdana Menteri telah membazirkan peluang untuk melantik individu yang bagus dalam jemaah menteri.

Beri peluang tunjuk prestasi

Artikel Berkaitan:

Namun, adalah tidak adil untuk tidak memberi peluang kepada Ismail Sabri membuktikan bahawa mereka mampu bekerja lebih baik daripada pentadbiran sebelum ini.

Jika dilihat dari sudut positif, pengekalan menteri dan timbalan menteri yang sama mampu melancarkan transisi pentadbiran baharu tanpa perlu menunggu lama untuk barisan kabinet menyesuaikan diri.

Ini akan memudahkan barisan kabinet ini memberi perkhidmatan terbaik dalam tempoh 100 hari seperti yang dimaklumkan oleh Perdana Menteri Jumaat lalu.

Ismail Sabri berkata, beliau akan memastikan barisan kabinet baharu itu menekankan budaya kerja berprestasi tinggi berupaya menggalas tanggungjawab diamanahkan dengan komited dan lebih proaktif.

Perkara penting yang rakyat ingin lihat adalah fokus sejauh mana barisan kabinet baharu terbabit berupaya membawa negara keluar daripada pandemik Covid-19 serta pemulihan ekonomi.

Hanya selepas itu rakyat boleh menilai mereka sama ada itu adalah kabinet yang gagal atau sebaliknya. Diharap lantikan barisan kabinet ini juga mampu menstabilkan kemelut politik terutama antara parti-parti yang menganggotai kerajaan.

Parti-parti utama seperti UMNO, Bersatu dan Pas perlu kembali bekerjasama agar kerajaan pimpinan Ismail Sabri mampu menyelesaikan masalah pandemik Covid-19, dalam usaha membantu rakyat dan memulihkan ekonomi negara.

Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Ahad bahawa beliau akan terus mengambil pendekatan untuk membantu kerajaan baharu bagi membendung penularan wabak Covid-19 amat memberangsangkan.

Ahmad Zahid menegaskan, beliau akan membantu termasuk dengan cara memantau, memberi pandangan dan teguran sewajarnya dalam memastikan kepentingan rakyat terus terpelihara.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata, pendirian itu juga selari dengan titah Yang di-Pertuan Agong agar semua pihak bekerjasama memulihkan negara.

Kerjasama semua pihak termasuk pembangkang juga perlu supaya pentadbiran kali ini mempunyai semak dan imbang yang lebih telus bagi memastikan proses pemulihan negara dapat berjalan lancar.

Diharap barisan kabinet yang mengangkat sumpah hari ini bekerja lebih baik dan tidak sia-siakan harapan seluruh rakyat Malaysia.

* Riswandi Razak ialah Web Editor Sinar Online

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!